Thursday, July 23, 2015

MARA henti pembelian aset luar negara - Annuar Musa

MARA memutuskan untuk menghentikan pembelian aset di luar negara buat masa ini, sebaliknya akan menjual beberapa aset sedia ada termasuk Ashley House di London yang dibeli kira-kira empat tahun lalu.

 Bekas Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, berkata selain menjana pendapatan agensi itu, penjualan aset di luar negara juga bagi membayar semula pinjaman pembelian aset lain di luar negara. Keputusan itu, katanya, dibuat semasa beliau masih lagi menjadi pengerusi majlis itu sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir Jumaat lalu. "Jika kita dapat tawaran baik, kita jual untuk menjana pendapatan bagi membayar semula pinjaman, .. ini adalah masa terbaik untuk menjualnya, contohnya di United Kingdom kerana pasaran hartanah di sana cukup menggalakkan," katanya.

Annuar yang ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen, di Bangunan Parlimen, di sini hari ini berkata beliau mengingatkan semua pegawai MARA supaya melaksanakan penjualan aset secara telus dan jujur serta melalui bidaan terbuka. "Saya memperingatkan pegawai yang melaksanakan tugas, sama seperti pembelian, penjualan juga mesti dibuat secara telus melalui pembidaan terbuka dan mematuhi semua prosedur penjualan aset dengan betul. 

Sementara itu, ditanya mengenai siasatan yang dijalankan pihak berkuasa ke atas pembelian hartanah di Australia, Annuar berkata, pihaknya difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kerjasama secara langsung dengan polis dan penyiasat di Australia. "Apa yang saya tahu secara umum penyiasatan sedang aktif dijalankan, dan beberapa pegawai MARA ibu pejabat dan MARA Incorporated Sdn Bhd sudah dipanggil, dan pegawai penyiasat juga ada yang sedang berada di Australia" katanya. 

Annuar juga berkata, melalui audit dalaman yang dijalankan, pihaknya mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pentadbiran MARA. "Kelemahan itu tidak semestinya satu jenayah tetapi kelemahan daripada segi tadbir urus di mana itu tidak perlu tunggu laporan akhir, kita mesti ambil tindakan segera. "Bagi saya yang penting mesti mempunyai urus tadbir yang baik serta telus dan juga tahap integriti yang tinggi. "Sebarang elemen tidak baik yang ada dalam MARA hendaklah dibersihkan dan sebarang salah laku sekecil mana sekalipun jika ia dilakukan, tindakan tegas mesti diambil daripada awal," katanya. 

Isu pembelian hartanah oleh MARA timbul apabila akhbar Australia, The Age, melaporkan "sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya" membayar lebihan A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi membeli sebuah pangsapuri di Melbourne pada 2013. Mereka termasuk seorang pegawai "atasan" MARA, pegawai kanan dan bekas ahli politik, yang dikatakan menggunakan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit untuk pembelian blok pangsapuri Dudley International House, dengan menawarkan hampir A$5 juta lebih tinggi daripada harga asalnya A$17.8 juta. Akhbar itu turut mendakwa pemaju bangunan itu di Australia mengeluarkan invois palsu yang membutirkan kononnya perkhidmatan "jururunding dan nasihat" daripada firma Malaysia. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment