Sunday, March 8, 2015

KEBATILAN PERJUANGAN ISIS



Amat mendukacitakan apabila saban hari didada-dada akhbar memaparkan berita berkenaan dengan warga Malaysia yang terpengaruh dan terlibat dengan kumpulan Militan IS. Secara rasminya sehingga kini, terdapat 34(oktober 2014) rakyat Malaysia yang terlibat dengan IS termasuk wanita. Yang mengemparkan terdapat juga dikalangan mereka itu doktor yang sepatutnya boleh berfikir dengan waras.Cukup menakutkan apabila melihat dua rakyat negara kita terlibat dalam penyembelihan manusia. Apa akan jadi jika ideologi ini dibawa pulang ke Malaysia ? tidakkah mereka fikir perbuatan mereka ini akan memberi tekanan kepada umat Islam di Malaysia dan menyusahkan kerajaan ? Keganasan yang dibuat oleh ISIS  atas nama Islam cukup melampaui batas ketamudunan manusia, amat zalim dan kejam. 

Islam adalah agama yang menyebarkan keamanan, kesaksamaan, keadilan dan kasih sayang sesama manusia. Islam adalah agama rahmatan lil ‘alamin iaitu agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan bagi semua seluruh alam semesta, termasuk haiwan, tumbuhan dan jin, apalagi sesama manusia. Pernyataan bahwa Islam adalah agamanya yang rahmatan lil ‘alamin sebenarnya adalah kesimpulan dari firman Allah swt yang bermaksud : 
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.(QS.Al-Alnbiyah:
Bahkan  Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana yang terdapat dalam Hadis riwayat al-Imam al-Hakim,
“Siapa yang dengan sewenang-wenang membunuh burung, atau haiwan lain yang lebih kecil darinya, maka Allah akan meminta pertanggungjawaban kepadanya”.

Begitulah keindahan ajaran Islam jika difahami dan hayati oleh umat Islam. Lihat saja negara kita sebagai contoh, minoriti bukan Islam dapat hidup aman di tengah-tengah masyarakat Islam. Bahkan mereka bebas memiliki kekayaan dengan usaha mereka sendiri. Tidak sedikit pun mereka dizalimi, disakiti atau ditumpahkan darah mereka secara kejam. Namun keadaan ini tidak berlaku kepada minoriti umat Islam diluar negara. Lihat saja nasib minoriti umat Islam di Myanmar, China, Rusia, Bosnia dan beberapa lagi negara.  Dalam lain kata, KEGANASAN bukan tabiat semulajadi mereka yang memeluk agama Islam. 

Apakah keganasan itu sebenarnya ? Adalah amat sukar untuk mendefinasikan apakah itu keganasan, banyak definasi-definasi keganasan kebanyakkannya bercanggah antara satu sama lain. Ia bergantung kepada keadaan geografi dan sejarah sesuatu tempat. Menurut kamus oxford, keganasan bermaksud "penggunaan tindakan ganas dalam usaha bagi mencapai matlamat politik atau untuk memaksa kerajaan untuk bertindak". 

Perkataan "keganasan" mula digunapakai pada tahun 1790an semasa berlakunya revolusi Perancis. Ahli falsafah dan penulis politik kelahiran British Edmund Burke mengelarkan Revolusi berdarah ini sebagai "The Reign of Terror".   Inilah kali pertama keganasan digunakan dalam menjatuhkan sebuah kerajaan dan ianya tidak dilakukan oleh orang Islam. 

Hari ini, media antarabangsa terutama sekali media barat seringkali membuat kenyataan yang berulang-ulang  bahawa "semua orang Islam bukanlah pengganas, tetapi semua pengganas adalah orang Islam". Kenyataan ini bukan saja tidak benar malahan ianya menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. 

Mana mungkin Islam dikaitkan dengan keganasan sedangkan ajarannya mengajak manusia kepada kebaikan, kedamaian, kasih sayang dan persaudaraan.  Jika dilihat peraturan perang dalam Islam pun begitu ketat sekali. Jika ada pun umat Islam yang terlibat dengan keganasan ianya tidak bermakna ajaran Islam membenarkannya. 99.9% umat Islam yang berjumlah 1.6 billion orang menentang keganasan ini. Kesalahan perbuatan mereka tidak boleh disabitkan dengan agama Islam. Di dalam penjara seluruh dunia, saya pasti tidak semua banduannya beragama Islam. 

Berbalik kepada keganasan yang dipelopori oleh ISIS, keganasan mereka ini tidak boleh sama sekali dikatakan sebagai satu bentuk keganasan dalam ajaran Islam. Kita sedia maklum ISIS timbul hasil dari tekanan dan peperangan yang melanda di negara Timur Tengah. Dakwaan ISIS bahawa mereka telah membentuk Daulah Islam (Negara Islam) dan mengangkat ketua mereka Abu Bakr Al- Baghdadi sebagai Khalifah adalah untuk menarik umat Islam menyokong gerakan mereka. 

Pendekatan ISIS kononnya sebagai Daulah Islam amat jauh berbeza dengan Daulah Islam yang Nabi Muhammad SAW bawa. Nabi SAW meletakkan syarat-syarat yang ketat dalam peperangan. Dalam etika peperangan dalam Islam, memotong pokok tanpa sebab pun dilarang apatah lagi hendak membunuh jiwa manusia. Tentera Islam dizaman Rasulullah dilarang keras mengaibkan mayat, dicincang-cincang atau memaki-maki mayat mereka. Tentera Islam juga dilarang menyentuh dan membunuh para wanita, kanak-kanak, orang tua dan pendeta-pendeta yang beribadah. Ini tidak berlaku dalam organisasi ISIS, mereka membunuh orang awam, membunuh orang yang tidak bersenjata, mengaibkan mayat dan merosakan tubuh badan mayat. 

Amat jelas, perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam. Mejoriti umat Islam mengutuk keras perbuatan mereka yang mengunakan agama untuk bertindak ganas. Indonesia dan Malaysia mengharamkan pertubuhan ini dan melebelkan mereka sebagai organisasi pengganas. 

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahatir Mohamad menolak ideologi  ISIS sebagai pejuangan Islam," Islam adalah agama perdamaian, ISIS bukan saja membunuh bukan Islam bahkan membunuh umat Islam yang tidak bersenjata, ini amat bertentangan dengan ajaran Islam".katanya.

Apa yang berlaku hari ini berpunca daripada rasa kecewa dikalangan umat Islam. Mereka tidak berupaya menandingi kekuatan musuh, mereka ditindas, mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk mempertahankan diri mereka, mereka mendapati pemerintah mereka tidak menghalang penindasan keatas mereka.  Jadi mereka melunaskan kekecewaan mereka dengan membuat keputusan sendiri. Mereka cuba untuk melawan dengan cara dan kemampuan mereka sendiri. 

Menurut Tun Mahathir, "Mereka kini telah mengunakan taktik keganasan dalam membalas dendam terhadap pihak yang menindas mereka. Dalam kita memahami perasan mereka, kita tidak boleh menerima cara yang mereka  lakukan ini. Ini bukanlah caranya untuk membuat dunia menerima Islam, bahkan kesannya memberi impak buruk kepada Islam dan umat Islam itu sendiri.

Mereka yang kecewa ini sebenarnya kecewa apabila kita tidak mampu mempertahankan umat Islam. Mereka telah memberi gambaran yang buruk tentang Islam kepada dunia apabila memilih keganasan sebagai jalan penyelesaian. 



Bagi Datuk Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pondok 1 Malaysia, ramai anak muda seluruh dunia termasuklah dari Malaysia menyertai gerakan militan Islamic State Iraq and Syria (ISIS) kerana ingin mati syahid dan masuk syurga. Daripada 12 ribu rakyat asing yang menyertai mereka, 35 orang adalah dari Malaysia yang telah direkrut sebagai pejuang ISIS, ini termasuklah remaja perempuan yang sanggup menjadi isteri kepada pejuang-pejuang IS. Mereka dijanjikan bahawa pergorbanan mereka ini adalah satu jihad besar dan akan mendapat balasan syurga.

Menurut Datuk Mashitah lagi, ISIS telah menyeleweng makna jihad, perbuatan mereka telah menyemarakkan lagi Islamopobia dan  membenarkan pengunaan label pengganas pada umat Islam. Memenggal kepala tebusan, membunuh penduduk awam adalah perbuatan yang bukan sahaja kejam dan tidak bertamadun bahkan merosakkan imej Islam di kaca mata dunia terutama barat yang sentiasa beranggapan bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan.

 " Golongan muda perlu diberi penjelasan dan pemahaman mengenai takrif jihad kerana mereka seharusnya dapat  mengenalpasti kumpulan yang berselindung di sebalik seruan jihad sedangkan apa yang di perjuangkan itu  bukan  memenuhi tuntutan jihad yang Islam syorkan. Perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan oleh Islam bukan seperti perbuatan  pengebom berani mati dan memenggal kepala orang yang tidak berdosa atas alasan agama kerana ia dilarang keras disisi Islam. Ini bukan jihad, dan tentunya bukan jalan masuk syurga". tambah Datuk Mashitah Ibrahim. 

Malaysia selaku negara Islam yang berpaksikan konsep wasatiyah perlu lebih berwaspada dan mengambil langkah terkehadapan dalam menangani kemelut kecelaruan pemikiran anak muda Islam yang berkobar-kobar semangat jihad mereka menentang kezaliman. Semagat dan keazaman mereka untuk menentang kazaliman jika tidak dikawal oleh iman dan pemikiran yang rasional boleh menjebak diri mereka dan negara dalam kancah keganasan yang tidak berkesudahan. 

Wallahu a'lam.