Thursday, February 26, 2015

UMAT ISLAM PERLU TRANSFORMASI ILMU

Umat Islam berhadapan dengan cabaran yang sukar dan amat getir di zaman moden ini. Dimana-mana umat Islam di buli, dibunuh dan dizalimi sewenang-wenangnya. Umat Islam bukan lagi satu umat yang pernah digeruni oleh Tentera Salib, yang dahulunya mereka anggap sebagai "sang singa di padang pasir". Apakah semua ini berlaku kerana kesalahan agama Islam atau kesalahan umat Islam yang tidak memahami kehendak Islam?


Ada sesetengah umat Islam mentafsirkan nasib buruk mereka ini dengan menyatakan dunia ini bukan untuk kita, tempat kita diakhirat...di syurga. Dan mereka yang menzalimi kita akan disiksa di neraka. Begitu dangkalnya sekali pemikiran umat Islama kini.

Apakah ini ajaran Islam yang sebenar ? Adakah Nabi S.A.W membiarkan diri dan pengikut-pengikutnya dianiaya kerana tempatnya sudah terjamin di syurga? Apa yang akan berlaku kepada dakwah penyebaran Islam jika Nabi tidak berjuang menentang musuh Islam, berhijrah ke Madinah untuk membina kekuatan Islam ? Jika Nabi S.A.W berundur menunggu pahala selepas mati dan tidak berjuang untuk Islam, sudah tentu kita hari ini tidak merasai nikmat Iman dan Islam.

Pendapat yang menyatakan kita (umat Islam) perlu menerima hidup dalam kemiskinan dan menunggu syurga diakhirat nanti adalah satu pendapat yang salah dan batil. Allah dalam Al-Quran meyuruh kita menyediakan kelengkapan persenjataan bagi menghalang musuh dan mempertahankan diri. Namun bukan persenjataan yang hebat itu menjadi tujuan utama, yang penting adalah untuk menghalang dan mengalahkan musuh-musuh umat Islam. Bagi melaksana dan menjayakan semua perkara tersebut umat Islam perlu menguasai ilmu pengetahuan baru. Bukan sahaja ilmu agama tetapi ilmu lain seperti sains, matematik dan sebagainya wajib kita kuasai. 

Dalam hal ini peranan ulama dan umarak amat diperlukan bagi mengembeleng tenaga dan menjana minda baru bagi umat Islam yang jauh ketinggalan dalam bidang ilmu sains dan teknologi. Umat Islam bukan sahaja perlu belajar sains dan teknologi bahkan perlu menguasai ilmu tersebut. 

Di negara kita Malaysia khususnya, umat Islamnya lebih menitik beratkan ilmu agama asas dari mempelajari ilmu sains dan teknologi. Maka ramai ibubapa muslim lebih gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau sekolah pondok.  Kenapa ini berlaku ? Ianya berlaku kerana sesetengah pentafsir agama memberitahu kita bahawa sains dan teknologi adalah ilmu sekular yang tidak akan mendapat pahala jika belajar mengenainya. 

Oleh itu amat bertepatan sekali apabila Datuk Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pondok Malaysia menyarankan agar sekolah-sekolah agama dan pondok ini melakukan Tranformasi dalam pendidikan. Disamping mengekalkan ciri-ciri tradisional mereka juga sepatutnya lebih terbuka menerima idea-idea baru, berkongsi sumber serta lebih terbuka menerima kaedah pembelajaran dan ilmu tambahan seperti teknologi komputer, maklumat, sains, matemtik dan bahasa Inggeris. 

Menurutnya Datuk Mashitah Ibrahim, musuh-musuh Islam mempunyai strategi-strategi tertentu untuk mengelirukan umat Islam. Mereka mengunakan institusi Ilmu seperti  ulama dan ustaz-ustaz dalam usaha mengelirukan umat Islam. "Kenapa musuh-musuh Islam mengelirukan ulama ? kerana ulama adalah warisatul ambia', perlu dikelirukan institusi ulama supaya tidak bergerak". Musuh Islam amat faham, bahawa selemah-lemah umat Islam, mereka amat fanatik dengan agamanya."  katanya dalam satu forum Kebangsaan. 

Ulama adalah gedung ilmu bagi umat Islam. Kata-kata ulama dianggap sebagai ilmu, fatwa serta perlu dipatuhi. Oleh itu dalam mengubah persepsi umat Islam terhadap ilmu-ilmu baru seperti sains dan teknologi, peranan ulama amat penting.  Apabila ulama dan ustaz-ustaz  sebagai pendokong institusi ilmu lebih sibuk berpolitik dan bercakaran dengan penguasa maka umat menjadi lemah. Apabila kita lemah, musuh mengambil kesempatan mengucar-kacirkan negara dan akhirnya negara menjadi hancur. 

Ingatlah, umat Islam dahulu dihormati dan ditakuti bukan kerana sentiasa menang didalam peperangan, tetapi kerana kebenaran Islam dan ilmu pengetahuan umatnya yang luas. Umat Islam ketikaitu bukan sahaja kuat dari segi ketenteraan dan ekonomi serta maju dalam bidang sains dan matematik. Ibnu Sina, Al-Jabar (Algebra), Ibnu Khladun, Al Razi antara nama-nama ilmuan Islam yang menjadi rujukan orang Eropah , Yunani dan lain-lain. Mereka mengkaji dan menterjemahkan dalam bahasa mereka untuk mereka bangunkan negara dan bangsa mereka.

Sungguh amat malang jika kita masih lagi terleka dan terbuai-buai dengan angan-angan ke syurga dengan mudah sedangkan kita sebenarnya sedang membinasakan diri kita, bangsa kita dan tanahair kita tanpa kita sedari. Adalah amat penting Ulama dan Umarak bergandingan dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan moden dan terkini kepada umat Islam agar ummah dan Islam terbela.