Wanita terbabit, Nor Azlina Dawari, 44, berkata, dia dan suami, Johari Hashim, 55, pernah beberapa kali menasihatkan suspek supaya tidak mengganggu mangsa, Nursyuhada, 20, namun tidak dihiraukan.

Nor Azlina juga memberitahu, mereka menghalang suspek yang merupakan rakan sekampung daripada menjalinkan hubungan dengan Nursyuhada itu kerana dia disyaki terlibat dengan penagihan dadah.

“Namun saya tidak menyangka dia sanggup bertindak sedemikian terhadap anak saya. Insiden semalam tidak dapat dilupakan apabila saya menerima panggilan daripada rakan Nursyuhada mengatakan dia diculik dengan diacukan pisau oleh lelaki itu.
“Saya cuba menelefon untuk merayu agar anak saya tidak diapa-apakan namun tidak dijawab sehingga suami terpaksa menelefon keluarganya sebelum diberitahu dia telah menikam anak saya.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Kenapa sanggup dia bertindak kejam terhadap anak saya yang baik hati,” katanya ketika ditemui di Kampung Cherok Mokkan, Napoh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, Nursyuhada yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak.

Menurut Nor Azlina, walaupun terkejut dan bersedih dengan tragedi tersebut, keluarganya reda dengan pemergian anak kedua daripada enam adik-beradik itu.

“Arwah seorang anak yang periang dalam keluarga dan beberapa hari sebelum kejadian sikap manjanya menjadi-jadi kepada kami sehingga saya tertanya-tanya namun saya tidak sangka perkara seperti ini akan menimpanya,” katanya.