Monday, April 1, 2013

MEREKA TUNGGI IMAM AL-MAHDI ?



 Kumpulan ajaran sesat Al-Arqam yang giat memperluaskan pengaruh mereka di luar negara dipercayai telah mewujudkan sebuah perkampungan bagi pertubuhan itu di Mekah, Arab Saudi sejak tiga tahun lalu.
Menurut sumber, kawasan perkampungan tersebut dibeli oleh pertubuhan itu beberapa tahun lalu untuk dijadikan tempat melakukan ibadah haji dan umrah oleh pengikut-pengikut mereka.
Katanya, pengikut-pengikut ajaran sesat itu yang kini diketuai oleh balu pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, Khadijah Aam, hanya melakukan rukun-rukun haji seperti melontar jamrah di perkampungan tersebut yang pada asalnya merupakan ladang kurma.
“Perkampungan itu boleh diumpamakan seperti perkampungan mereka di Bandar Country Homes, Rawang di sini.
“Selain melakukan pelbagai aktiviti seperti berkuda dan memanah bagi menarik orang ramai, pengikut-pengikut mereka juga melakukan ibadat haji dan umrah di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rabu lalu, Khadijah ditangkap di Kota Mekah kerana disyaki memimpin ajaran sesat di tanah suci itu.
Dia ditangkap bersama 95 lagi pengikutnya terdiri daripada rakyat Malaysia dan Indonesia dalam satu serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Mekah dengan kerjasama Unit Risikan dan Pencegahan Jenayah semasa sedang menjalankan upacara keagamaan di situ.
Sumber itu menjelaskan, pengikut-pengikut mereka hanya melakukan ibadah melontar jamrah di tandas kerana mereka percaya konsep melakukan ibadah tersebut ialah membaling batu ke arah syaitan dan tidak perlu pergi ke jamrah di Mina.
“Mereka juga bersolat serta mengamal zikir yang dikatakan tawasul dengan menyebut nama Abuya," ujarnya.
Sumber itu berkata, risalah dan maklumat mengenai perkampungan di Mekah itu telah diedarkan kepada pengikut-pengikut mereka semasa konsert sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari di Bandar Country Homes November tahun lalu.
Menurut sumber itu lagi, hasil pendapatan Khatijah yang dikatakan lebih RM800,000 sebulan dipercayai diperolehi melalui perniagaan-perniagaan seperti menjalankan pakej haji dan umrah yang dilakukan di perkampungan itu.


1 comment:

  1. Mungkin boleh juga membaca pasal isu GISB Makkah di sini:

    http://politik313.blogspot.com/

    ReplyDelete