Wednesday, February 4, 2015

PELAJAR UiTM MAUT DI KELAR

Seorang wanita berusia 19 tahun dibunuh kejam oleh rakannya apabila lehernya dikelar di dalam sebuah kereta di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Gantang, di sini.

Mangsa seorang remaja perempuan, yang juga pelajar tahun satu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Nur Syuhada  Johari, telah disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 2 petang tadi selepas dia dipercayai dikelar di bahagian leher dipercayai teman lelakinya dalam kejadian di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Bukit Gantang.

Seorang saksi, Md Ikhbal Ahmad berkata, dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, dia yang dalam perjalanan dari Pokok Assam ke Ipoh telah melihat sebuah kereta jenis Proton Perdana warna hitam diletakkan di bahu jalan lebuh raya.

Menurutnya, kelihatan seorang perempuan telah keluar dari kereta terbabit melalui pintu pemandu dan kemudian jatuh ke jalan.

“Dalam masa yang sama, kelihatan seorang lelaki turut keluar dari kereta berkenaan dan menarik mangsa ke bahagian tepi besi penghadang jalan.

“Namun selepas itu, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dan masuk ke hutan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Tambahnya, dia kemudian memberhentikan motosikal ditunggang dan melihat ramai orang awam turut berhenti menyaksikan kejadian terbabit.

“Ketika itu, kelihatan terdapat kesan leher mangsa telah dikelar dan tidak lama selepas itu kelihatan lelaki berkenaan muncul semula dan terus membuka pintu kereta dan mengambil sebuah telefon bimbit.

“Kedengaran lelaki berkenaan telah menelefon seseorang dan berkata, “minta maaf dan dia telah buat silap”,” katanya.

Mengulas lanjut, saksi berkenaan berkata, dia juga agak terkejut selepas mendengar lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata ‘’Dia tak mampus lagi ke?”

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian juga mula curiga dengan lelaki berkenaan dan bertindak memukulnya lalu menyerahkannya kepada polis peronda yang sampai di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun itu disyaki mempunyai masalah mental dan telah berkawan dengan mangsa.

“Dalam masa yang sama, polis turut menjumpai sebilah pisau lipat yang dibuang mangsa di bawah bukit tepi lebuh raya.

“Suspek telahpun ditangkap dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.