Dr. Amir Hussin Baha ruddin
Penganalisis ekonomi, Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, bencana alam yang ketika ini menimpa negeri-negeri pantai timur termasuk beberapa kawasan di Perak dan Johor akan memberi sedikit tekanan kepada ringgit tetapi akan kembali pulih berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain dalam sedikit masa lagi.
Katanya, rakyat juga tidak perlu bimbang dengan pelbagai tragedi yang berlaku termasuk pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas Ahad lalu kerana tidak memberi kesan ke atas mata wang negara itu.
“Ketika ini, ringgit masih berada pada paras stabil dan penanda aras kita adalah apabila melepasi RM4. Jika ada petanda berlakunya krisis, sudah pasti ada pelabur-pelabur yang sudah menarik pelaburan mereka di Bursa Malaysia tetapi perkara itu tidak berlaku dan masih kekal statik pada tahap melebihi 1,700 mata.
“Ini menunjukkan tiada sebarang petanda akan berlaku krisis kewangan Asia seperti mana 16 tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Bloomberg yang menyatakan bahawa ringgit menuju penurunan suku tahunan terbesar sejak krisis kewangan Asia pada 1998 ketika kejatuhan harga minyak memberi tekanan kepada bajet negara dan eksport.
Data Bloomberg sehingga 9.38 pagi ini menunjukkan ringgit jatuh 6.1 peratus sejak akhir September 2014 kepada 3.4945. Kejatuhan itu merupakan yang terbesar sejak krisis berakhir Jun 1998.
Menurut laporan itu, kejatuhan 48 peratus harga minyak mentah Brent tahun ini mengurangkan hasil negara yang mana Malaysia merupakan pengeksport bersih minyak sekali gus menghalang pelan pengurangan defisit kerajaan.
Dalam pada itu, Amir Hussin optimis ekonomi negara akan tumbuh lebih positif pada suku pertama 2015 selepas mengharungi pelbagai cabaran pada separuh kedua tahun ini.
“Apabila kerajaan membangunkan semula kawasan penempatan bagi mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam ini, langkah itu secara tidak langsung melibatkan banyak perbelanjaan awam dan ini akan memberi suntikan modal kepada ekonomi negara.
“Pembangunan semula ini juga merupakan satu pelaburan yang baik kepada kerajaan dan ekonomi negara akan berkembang lebih giat lagi,” katanya.
Beliau yang juga Profesor Pelawat di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kerajaan akan meneruskan projek insfrastruktur seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2015, 10 Oktober lalu dan meminta supaya rakyat lebih bersabar dengan manfaat projek tersebut.