Monday, August 11, 2014

17 ogos , bincang undi tidak percaya

 Pas enggan memberi sebarang komen berkenaan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bakal dibuat PKR.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut dan isu pemecatan Abdul Khalid hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Pimpinan Pas Pusat yang akan diadakan pada 17 Ogos nanti.

"Tak tahu lagi. Kita tak bincang lagi. Kita akan bawa (usul undi tidak percaya) ke mesyuarat 17 Ogos nanti," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid dalam Dewan Undangan Negeri bertujuan menyingkirkannya daripada jawatan menteri besar secara sah.

Pengumuman itu dibuat ekoran pemecatan Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR yang berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mencapai keputusan sebulat suara.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saifuddin: Abdul Khalid masih MB Selangor]

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika ditemui meminta semua ahli Pas bertenang kerana pimpinan Pas sedang menangani isu ini.

"Pas akan terus bersama dengan PR dalam menangani isu ini secara berhemah dan bijaksana.

“....dan empat Exco Pas sudah dimaklumkan untuk terus memberikan khidmat kerana Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan pelawaan terhadap Abdul Khalid dalam menyertai Pas.

"Pas tidak jemput sesiapa dalam parti dan Abdul Khalid pun tidak menawarkan diri ke Pas," katanya lagi.