Tuesday, June 11, 2013

SEKAT RES BEAN...!!!

'Boleh hancurkan negara'

KUALA LUMPUR 9 Jun - Fitnah dan hasutan berterusan yang disebarkan oleh Red Bean Army menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat.


Presiden Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, kegiatan tentera siber pembangkang itu mesti dikekang demi menjaga kestabilan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.


Menurut beliau, aktivis Red Bean Army sengaja memainkan sentimen perkauman sempit semata-mata mahu mengapi-apikan kaum Cina bagi memburukkan- burukkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.


"Kita bimbang perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu boleh mengundang keadaan huru-hara sehingga menghancurkan negara.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis perlu bertindak tegas terhadap dalang-dalang di sebalik Red Bean Army dengan segera mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas mengenai Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang BN, malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.


Pasukan berkenaan yang berpangkalan di sebuah hotel di ibu negara dan juga di pejabat Komtar, Pulau Pinang akan menyerang serta menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang bercakap buruk tentang DAP dan pakatan pembangkang.
Red Bean Army juga didakwa memainkan peranan memanipulasi sentimen kaum Cina untuk menolak calon-calon Melayu daripada BN yang bertanding dalam PRU-13 lalu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.


Tambah Razali, buat permulaan, kerajaan boleh mewajibkan permohonan lesen untuk pengendali blog bagi memudahkan tindakan diambil sekiranya mereka melanggar undang-undang negara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim menyifatkan dakwaan Kit Siang kononnya tidak mengetahui tentang Red Bean Army sebagai strategi untuk melarikan diri daripada isu sebenar.
Menurut beliau, reaksi Kit Siang itu tidak menghairankan kerana pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang sering dilanda 'sindrom penafian'.


"Berdasarkan pengalaman saya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu, pakatan pembangkang memanipulasi media sosial sebagai saluran utama bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap BN dalam kalangan rakyat," katanya.
Ruslan turut menggesa pihak berkuasa membuktikan ketegasan dalam menangani ancaman Red Bean Army dan bukan sekadar memberikan amaran sahaja.
Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan amat berharap pihak berkuasa bertindak segera terhadap Red Bean Army.


"Kita hanya mampu mendesak tetapi pihak berkuasa sahaja yang boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," jelasnya.
Beliau berpandangan, kegiatan Red Bean Army menyebarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi media sosial tidak sepatutnya dibiarkan berpanjangan.


Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, pihak berkuasa hendaklah mengesan identiti sebenar anggota-anggota Red Bean Army supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan atas fitnah dan hasutan yang disebarkan.