Thursday, June 13, 2013

SINDIKET PENIPUAN TAWAR RM 1 JUTA

KUALA LUMPUR 12 Jun - Satu sindiket penipuan dikesan cuba memperdayakan ahli perniagaan serta pemilik syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) dengan menawarkan pembiayaan perniagaan mencecah RM1 juta.


Sindiket penipuan terbabit menawarkan 'pinjaman' lumayan itu hanya melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit milik ahli perniagaan atau pemilik syarikat IKS yang dipilih.


Tidak diketahui bagaimana sindiket itu memperoleh nombor telefon bimbit ahli perniagaan yang menjadi sasaran tetapi dipercayai ramai pemilik syarikat memperoleh SMS seumpama itu kebelakangan ini.
Kumpulan sindiket hanya mengirim jemputan atau tawaran membuat pinjaman kepada mana-mana syarikat yang dipilih dan jumlah pembiayaan ditawarkan tanpa menyatakan syarat-syarat lengkap untuk memohon pinjaman tersebut.


Sesiapa yang berminat diminta menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam SMS bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.
SMS tersebut berbunyi 'RM0.00 Jemputan Khas ....(ditulis nama syarikat yang dijemput) Pra Lulus Pembiayaan RM1 Juta SME Success. RSVP ke 03-74518002 segera.'
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar) berkata, SMS tersebut adalah satu penipuan oleh kumpulan sindiket kerana tiada tawaran seperti itu pernah dibuat oleh syarikat pinjaman atau perbankan di negara ini.


Beliau sehubungan itu menasihatkan individu, ahli perniagaan atau pemilik syarikat yang menerima SMS tersebut agar jangan mempercayainya.
"SMS dihantar itu adalah satu penipuan oleh sindiket. Jangan mudah mempercayainya dan menjadi mangsa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.


Syed Ismail berkata, pihaknya walau bagaimanapun belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan seumpama itu setakat ini.


Namun, katanya, kumpulan sindiket tersebut sedang dipantau dan siasatan lanjut terhadap kegiatan mereka kini dalam siasatan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang individu mendalangi sindiket berkenaan diminta tampil membantu polis dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment