Tuesday, June 11, 2013

11 DEPECAT

KUALA LUMPUR 10 Jun - Selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee mempertikai tindakan Tan Kok Wai memecat keahliannya, kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu terus dipersoalkan kerana didakwa ‘membuang’ 11 lagi ahli DAP tanpa mengikut perlembagaan parti.



Perkara itu didedahkan Ketua Wanita DAP Pandan, Dorothy Chong Chye Wah yang turut menerima surat pemecatan tersebut bertarikh 3 Jun lalu bersama ahli-ahli parti lain khususnya di kawasan Pandan dan Ampang.
Namun, jelasnya, apa yang menghairankan ialah mereka yang dipecat tidak diberikan surat tunjuk sebab termasuk peluang untuk dibicarakan terlebih dahulu mengikut lunas-lunas perlembagaan parti.


‘‘Tiada dinyatakan alasan pemecatan dalam surat itu. Sepatutnya beri kami surat tunjuk sebab dan dibicarakan sebelum boleh buat keputusan sama ada dipecat atau tidak. Ini tidak munasabah.


‘‘Cuma, berdasarkan maklumat, kami dipecat kerana ada aduan mengatakan kami menyokong Jenice dalam pilihan raya umum lalu. Bertambah pelik, yang membuat aduan itu adalah seorang pemimpin pemuda DAP (DAPSY) Selangor yang didakwa masih lagi ahli Gerakan. Kami mahu DAP siasat latar belakang pemimpin DAPSY ini,’’ katanya dalam sidang akhbar di depan Ibu Pejabat DAP, di sini hari ini.


Baru-baru ini, Jenice atau nama sebenarnya Lee Ying Ha, 33, memfailkan saman terhadap DAP di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon perisytiharan supaya keahliannya dalam parti itu dikembalikan.

Pada 20 April lalu, Jenice yang pada ketika itu merupakan Setiausaha Publisiti Selangor telah mendapati melalui pihak media bahawa keahliannya telah dilucutkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Ujar Dorothy, ekoran tindakan pemecatan tanpa mengikut undang-undang parti, pucuk pimpinan parti digesa menggantung jawatan Kok Wai selaku Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP kerana didakwa menyalahgunakan kuasa.
‘‘Kami nak tahu apakah sebab pemecatan ini. Apakah kerana kami menyokong Jenice? Tetapi, salahkah kami sokong beliau? Kami juga menyokong Lim Guan Eng dan Karpal Singh. Jadi, mengapa pecat kami?


‘‘Oleh itu, selain menggantung jawatan Kok Wai, kami mahu DAP membentuk jawatankuasa bebas menyiasat salah guna kuasa beliau. Jawatankuasa itu perlu dianggotai pemimpin yang berpengalaman luas dalam undang-undang,’’ tambahnya.

No comments:

Post a Comment