Friday, May 3, 2013

SUMPAH LAKNAT DI DEPAN BAITULLAH

PETALING JAYA 2 Mei - Dalam perjuangannya untuk menguatkan keyakinan semua pihak bahawa beliau tidak berbohong dalam kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan tampil menayangkan rakaman video sumpah laknat yang dilafazkan di depan Baitullah.

Gambar: Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersama peguamnya Zamri Idrus pada sidang media di Petaling Jaya, semalam bagi memaklumkan beliau sudah melafazkan sumpah laknat kedua di hadapan Kaabah, ketika beliau mengerjakan ibadah umrah pada April tahun lalu.


Rakaman video yang pertama kali ditayangkan kepada wartawan di sini hari ini, bekas pembantu peribadi Anwar itu memberitahu rakaman tersebut dibuat ketika beliau mengerjakan umrah bersama arwah neneknya, April tahun lalu.

Jelasnya, rakaman itu pada awalnya disimpan sebagai rekod peribadi tetapi memutuskan untuk disiarkan berikutan pengakuan bapanya, Azlan Mohd. Lazim yang mahu 'kembali ke pangkal jalan' dengan menarik balik kenyataan sebelum ini.

''Pada April lalu, beberapa bulan selepas keputusan kes liwat di Mahkamah Tinggi, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT ke Tanah Suci menunaikan umrah bersama arwah nenek. Alhamdulillah semasa di sana saya peroleh semula kekuatan dan ketenangan selepas kecewa serta tertekan dengan keputusan mahkamah sebelum ini.

''Beberapa hari sebelum pulang ke tanah air, saya terpanggil untuk melepaskan segala luka dengan melafazkan sumpah laknat di depan Baitullah bahawa saya telah diliwat oleh Anwar. Rakaman video ini akan saya muat naik dalam YouTube,'' katanya.

Dalam rakaman video hampir dua minit itu, Mohd. Saiful yang berjubah putih menghampiri kawasan Multazam dan melafazkan : ''Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah atas nama Allah, di depan Baitullah ini bahawa dakwaan saya yang telah diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim empat tahun lalu adalah benar. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab dan laknat serta kutukan daripada Allah hingga akhirat.''

Mengulas lanjut, Mohd. Saiful yang ditemani peguamnya, Zamri Idrus berkata, keputusan untuk menyiarkan rakaman sumpah laknat itu adalah bagi membuktikan bahawa beliau dengan sebenar-benarnya telah diliwat oleh Anwar, sekali gus membersihkan namanya serta keluarga daripada apa jua tohmahan.

''Sumpah laknat saya di depan Baitullah ini adalah benteng perjuangan terkuat dalam perjuangan sebagai seorang muslim dalam episod saya menegakkan kebenaran dan lafaz sumpah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.

''Dari segi nasihat yang saya terima daripada golongan ulama, mereka kata amatlah besar kesan dan akibatnya jika itu satu dusta. Saya sudah dua kali bersumpah laknat, namun Anwar masih lagi enggan berbuat demikian,'' tegasnya.

Kepada soalan siapa yang telah menonton rakaman sumpah itu, katanya, rakaman itu dikongsi bersama ahli keluarga terdekat termasuk bapanya.

Terdahulu, beliau melahirkan rasa syukur kerana bapanya sudah kembali ke pangkal jalan dengan menarik balik kenyataan sebelum ini serta mengaku kejadian liwat oleh Anwar pada 2008 benar-benar berlaku.

''Ketika bapa membuat kenyataan sebaliknya pada 8 Mac lalu, dalam tempoh itu hingga kini saya mengambil langkah untuk berdiam, berdoa setiap hari dan mengerjakan solat hajat supaya bapa sedar. Itu adalah satu tempoh yang cukup perit dan alhamdulillah Allah menunjukkan kebesaran-Nya dengan mengetuk pintu hati bapa saya.

''Bagi saya ini adalah perkara ajaib. Bapa menghubungi saya pagi semalam serta menyatakan untuk membuat pengakuan tersebut,'' katanya.

Ditanya sama ada beliau berdendam dengan Azlan ekoran kenyataan sebelum ini, jelas Mohd. Saiful, pendiriannya tetap sama iaitu akan sentiasa memaafkan bapanya itu.

''Secara jujur, saya amat tertekan setelah bapa membuat tuduhan yang tidak benar termasuk memohon maaf kepada Anwar pada Mac lepas. Tetapi, saya tetap memaafkannya,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Zamri menegaskan bahawa laporan polis yang dibuat Mohd. Saiful pada 2008 bukannya satu konspirasi politik.

''Mohd. Saiful telah membuat sumpah laknat tahun lalu dan jika beliau berdusta, apa yang beliau sanggup hadapi? Tetapi alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku,'' tambahnya.