Friday, May 24, 2013

PUSING SANA PUSING SINI....KENA GANTUNG JUGA


SHAH ALAM 23 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan tertuduh keempat, R. Kathavarayan, 32, dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, sebagai rakan subahat yang telah memanipulasikan segala keterangan yang telah didengar sebelum ini bagi menyelamatkan nyawanya sendiri.


Sungguhpun begitu, Hakim Datuk Akhtar Tahir menyatakan, adalah tidak wajar untuk mengetepikan kesemua keterangan tertuduh terbabit terutamanya yang disokong dengan keterangan lain seperti kehadiran Sosilawati dan tiga rakannya di Ladang Gadong pada 30 Ogos 2010.
Kehadiran pengasas Nouvelle Visage ke ladang terbabit bersama rakan-rakannya adalah bertujuan untuk mempercepatkan dua keping cek berjumlah RM4 juta sebagai bonus kepada kakitangannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma beberapa hari.

''Bagaimanapun, terdapat satu bahagian keterangan tertuduh keempat yang tidak pernah timbul pada peringkat awal prosiding yang mana tertuduh keempat telah menceritakannya dengan panjang dan terperinci.
''Ia berhubung dengan tindak tanduk tertuduh pertama memastikan perilaku tertuduh-tertuduh lain sekiranya ditanya oleh pihak polis berhubung kehilangan Sosilawati yang pada ketika itu telah mendapat liputan meluas.

''Dalam erti kata lain, tertuduh pertama sedang menyiapkan ketiga-tiga tertuduh di atas kebarangkalian akan ditangkap dan ditanya mengenai kehilangan Sosilawati dan rakan-rakan.

''Fakta bahawa terdapat perjumpaan bagi membincangkan kehilangan Sosilawati dan rakan-rakan menunjukkan kesemua tertuduh terlibat dalam satu rancangan awal yang telah dilaksanakan pada 30 Ogos 2010 dengan membunuh dan menghapuskan mayat Sosilawati dan rakan-rakannya,'' kata beliau.
Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, beliau memilih untuk mempercayai keterangan saksi pendakwaan ke-33 iaitu pembantu rumah, Siti Hamidah Karnas yang menyatakan dia ada terdengar suara wanita menjerit dan api besar setinggi pokok kelapa sawit.


Ini kerana, sewaktu saksi pembelaan ke-26 yang juga isteri kepada tertuduh keempat itu dipanggil memberi keterangan bagi menyangkal keterangan Siti Hamidah, hakim tersebut mendapati perilaku wanita berkenaan jelas menunjukkan terdapat sesuatu yang sedang disembunyikan.
''Kesemua tertuduh juga gagal memberi penjelasan mengenai barang-barang milik mangsa-mangsa yang ditemui hasil maklumat daripada empat individu yang ditahan.


''Dua daripada pemberi maklumat itu ialah tertuduh kedua (Thilaiyalagan) dan tertuduh keempat yang bekerja dengan tertuduh pertama dan oleh kerana Sosilawati telah pergi ke ladang untuk bertemu dengan tertuduh pertama, maka apa yang berlaku selepas itu boleh dikatakan sebagai arahan daripada tertuduh pertama,'' ujarnya,


Hakim Akhtar turut memberitahu tiada penjelasan diberikan oleh kesemua tertuduh berhubung penemuan darah dan tulang manusia di ladang terbabit.
Penemuan darah dan tulang manusia terbakar di ladang terbabit hanya menimbulkan satu tanggapan mengenai apa yang telah berlaku kepada Sosilawati dan rakan-rakannya iaitu mereka telah dibakar sehingga mati.


No comments:

Post a Comment