Saturday, May 11, 2013

PR bakal fail petisyen tempoh terdekat

PR Perak akan memfailkan petisyen terhadap enam kerusi Dun yang dimenangi BN pada pilihan raya lalu dalam tempoh terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kini pihaknya giat mengumpul bukti dan maklumat berhubung segala salah laku yang dikesan berlaku sepanjang pilihan raya itu berlangsung.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas mendapati terdapat salah laku serta ketidakpatuhan undang-undang berlaku membabitkan pihak tertentu ketika pilihan raya dijalankan.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti beberapa kerusi Dun untuk melaksanakan perkara tersebut namun masih belum boleh didedahkan kepada umum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PR Negeri, semalam.

Hadir sama, Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham, Pesuruhjaya Pas Negeri, Abu Bakar Hussain dan barisan kepimpinan PR Negeri.

Mohammad Nizar berkata, PRU13 pada kali ini adalah yang ‘paling kotor’ dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Katanya, terlalu banyak kepincangan yang dapat dilihat melalui pilihan raya tersebut sehingga elemen perkauman turut dimainkan semata-mata bagi meraih sokongan rakyat.

“Jika dilihat secara logik, perjuangan PR tidak berlandaskan perkauman. Contohnya, kemenangan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid di Lumut membuktikan bahawa kaum Cina menyokong calon Melayu yang bertanding di kawasan tersebut.

“Tiada istilah ‘Tsunami Cina’ seperti mana yang digembar gemburkan pihak tertentu sebelum ini kerana bagi PR semuanya sama tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau turut mempertikai keputusan tiga Dun iaitu di Manjoi, Lubok Merbau dan Pasir Panjang yang memperlihatkan Pas kalah tipis kepada BN.

“Kita berharap pihak berkenaan dapat menyiasat perkara ini dengan segera bagi memastikan tiada ‘ketempangan’ dalam sistem pilihan raya di Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment