Saturday, May 11, 2013

RUMAH MAMPU MILIK UNTUK RAKYAT


- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merancang untuk membina 100,000 buah rumah mampu milik di seluruh negara untuk golongan kelas pertengahan, bermula tahun ini.

Presidennya, Datuk Syed Ali Al-Attas (gambar) berkata, setiap unit kediaman mampu milik itu akan dijual dalam anggaran RM200,000.
Beliau berkata, projek perintis akan dijalankan di Johor dengan pembinaan 300 buah rumah bagi fasa pertama.

Bagi fasa kedua, sebanyak 1,000 buah lagi akan dibina di negeri yang sama.
"Malaysia pada waktu ini memerlukan sejuta buah rumah bagi kelas pertengahan iaitu yang berpendapatan bulanan RM3,000 sehingga RM7,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai sejauh mana ekonomi Malaysia menerima impak selepas Pilihan PRU-13, Syed Ali menjawab, perjalanan ekonomi di negara ini berlangsung seperti biasa.

Katanya, perpaduan berlaku di dalam kebanyakan aktiviti ekonomi dan perniagaan, tanpa mengira fahaman atau ideologi politik.
"Tidak berlaku impak negatif terhadap ekonomi negara dan juga dalam perniagaan selepas PRU-13 kerana masing-masing saling memerlukan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DPMM telah menubuhkan Majlis Penyelarasan Ekonomi Nasional (NERC) bagi mengatasi tiga perkara berbangkit dalam perniagaan yang membabitkan semua kaum.

"Tiga perkara berbangkit itu berkaitan dasar-dasar semasa kerajaan, rasuah dan pertindihan peranan syarikat milik kerajaan (GLC)," katanya.
Katanya, NERC akan dianggotai 30 orang iaitu 10 daripada DPMM dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), 10 lagi daripada wakil parti politik dan 10 lagi daripada golongan profesional.

"Perjumpaan pertama ahli-ahli NERC akan berlangsung pada Jun ini. Setakat ini, kami telah berjumpa dengan kalangan profesional bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan untuk menganggotai majlis itu," katanya.

Syed Ali turut mengumumkan bahawa beliau akan menjadi Pengerusi NERC.

No comments:

Post a Comment