Wednesday, April 3, 2013

RANCANG BUNUH TUN MAHADHIR, C.N KESAL.


Bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau C.N. Afghani hari ini menjelaskan, tujuan rancangan untuk membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah bagi mempercepatkan proses pemerintahan Pas di negara ini.
Ujarnya, beliau bersama rakan-rakannya yang begitu terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi berpendapat, Pas tidak akan dapat memerintah selagi parti itu bergantung dengan sistem pilihan raya sedia ada.
Mahu tidak mahu, katanya, beliau dan rakan-rakan perlu berbuat sesuatu supaya Islam dan hukum hudud boleh dilaksanakan segera di Malaysia.

"Sistem pilihan raya yang ada dalam negara ini sukar untuk Pas menang, jadi disebabkan itu, lambatlah parti ini hendak memerintah dan lambatlah juga Islam hendak memerintah.
"Jadi untuk cepatkan (Pas) perintah, saya dan rakan-rakan merancang untuk merampas kuasa secara kekerasan dan antaranya, jalan paling mudah, kita culik atau bunuh Perdana Menteri ketika itu (Dr. Mahathir)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi temu ramah bersama media dengan ulama-ulama pondok Kedah dan Kelantan.
Pada 25 Mac lalu, Zainon membuat pendedahan di Pasir Puteh bahawa rancangan untuk melakukan pembunuhan tersebut timbul kerana terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi yang menyatakan UMNO kafir.
Ekoran itu, Zainon berhasrat untuk bertemu dan memohon maaf kepada Dr. Mahathir.
Dalam pada itu, Zainon yang juga penulis buku Kafirkah Aku? berkata, komplot itu adalah ideanya dengan rakan-rakan lain tanpa penglibatan pemimpin Pas.
"Maknanya kita yang sendiri (rancang), hasil daripada Amanat Haji Hadi. Hasil daripada kita hendak melihat hukum hudud terlaksana.
Sebab itu, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turunkan tandatangan tidak mahu laksanakan hukum hudud, kami terlalu kecewa," katanya.
Kata Zainon, sejak Pas mendapat rakan baharu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta ramai pemimpinnya menjadi Yang Berhormat serta hidup mewah, mereka lupa kepada perjuangan asal parti.
"Jika saya tahu yang mereka tidak mahu tubuhkan negara Islam, saya tidak akan berhenti kerja. Buat apa saya hendak berhenti menjadi guru?" katanya kesal.