Wednesday, April 3, 2013

ULAMA GESA TOLAK PAS

Sekumpulan ulama pondok di Kelantan yang sebelum ini merupakan penyokong tegar Pas bertekad menolak keras parti tersebut selepas kepimpinan parti berkenaan gagal mempertahankan kalimah Allah.

Menurut mereka, persetujuan Pas bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam dalam kenyataan bersamanya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Januari lalu sememangnya tidak boleh diterima.
Ini kerana perkara tersebut amat berkaitan dengan usaha memelihara kesucian akidah Islam.

Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata, tindakan Pas itu amat mengecewakan umat Islam, khususnya para ulama kerana parti itu dilihat menyokong fahaman pluralisme iaitu yang amat bercanggah dengan Islam.

"Inilah hakikatnya sekarang. Di peringkat pemimpin memang payah hendak kita perbetulkan, cuma apa yang boleh kita lakukan ialah memberitahu dan memaklumkan kepada rakyat dan pengikut-pengikut Pas agar jangan sokong parti ini lagi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kedudukan Pas yang masih bersekutu dengan DAP dan PKR.

Lebih malang lagi, Pas sehingga hari ini belum menarik balik ketetapan yang dibuat bersama DAP dan PKR bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah walaupun Majlis Syura Ulamanya telah membuat keputusan sebaliknya.
Harun yang merupakan tokoh ulama pondok turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menggunakan hujah Ayat 25 surah al-Luqman bagi membenarkan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

"Sekali imbas bagi orang yang tidak belajar kata, ini hujah orang bukan Islam boleh guna kalimah Allah. Sedangkan tidak betul. Orang bukan Islam tidak akan mengaku keesaan Allah. Mereka tetap mensyirikkan Allah.
"Adakah kita mahu mengaku manusia ini bertuhankan Allah sedangkan mereka mensyirikkan Allah?" ujarnya.
Tegas beliau, di peringkat ini, setiap umat Islam mahu tidak mahu wajib mempertahankan kalimah Allah iaitu kalimah suci berkenaan hanya untuk orang Islam.

"Perjuangan ini adalah jihad dan inilah perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah sendiri pernah bersabda yang bermaksud 'Aku diutuskan sehingga manusia menyebut tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'," katanya.
Penasihat Minda Pondok, Abdullah Saamah pula berkata, tindakan Pas yang bersekongkol dengan DAP telah menggalakkan konsep pluralisme agama yang jelas bercanggah dengan Islam.

Tegas beliau, perkara tersebut amat berkait rapat dengan soal akidah.
Berbanding dengan UMNO, katanya, parti itu sentiasa mempertahankan kesucian akidah Islam termasuk kalimah Allah daripada disalahgunakan.
Oleh itu katanya, menjadi kefarduan kepada setiap umat Islam memberikan sokongan kepada kerajaan seperti ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz berkata, budaya fitnah yang amat berleluasa di dalam Pas menyebabkan para ulama pondok di Kelantan tidak lagi mahu menyokong parti itu.

Beliau berkata, sejak dahulu Pas hanya tahu menghasut rakyat dengan fitnah-fitnah yang sengaja ditaburkan terutama menuduh UMNO menolak Islam.
"Tidakkah mereka tahu bahawa dosa memfitnah itu lebih besar daripada membunuh dan tidakkah mereka sedar pada hakikatnya UMNO merupakan sebuah parti yang mempertahan, menegakkan dan mengembangkan Islam?
"Semuanya ini disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan UMNO.