Wednesday, February 20, 2013

TAHNIAH DIATAS MUAFAKAT DAP DAN PKR


Bukti tak sepakat - TPM

SUNGAI SIPUT 19 Feb. - Pergeseran serius antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor berhubung agihan kerusi pilihan raya adalah satu lagi bukti pakatan pembangkang tidak pernah bersepakat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbalahan antara Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR negeri itu, Datuk Chua Jui Meng sememangnya sudah dijangka kerana pemimpin kedua-dua parti itu tidak percaya antara satu sama lain.
''(Perbalahan) ini sudah lama menggelegak di bawah. Jui Meng memang pemimpin PKR tetapi orang dalam parti itu sendiri tidak yakin dengannya. Orang DAP pula lihat dia bekas pemimpin MCA yang tiba-tiba mahu berebut kerusi sedangkan dia masih baharu dalam PKR.
''DAP tentunya tidak mahu kerusinya direbut oleh Jui Meng. Bagi saya, ini satu kenyataan yang membuktikan tiada muafakat dan persefahaman dalam pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia, di sini hari ini.
Beliau ditanya kebimbangan Pengerusi DAP, Karpal Singh tentang perbalahan terbuka antara Cheng Hau dan Jui Meng berhubung peruntukan kerusi yang dilihat boleh menjejaskan persiapan pembangkang menjelang pilihan raya umum di negeri itu.
Karpal dalam satu kenyataan semalam mahu satu siasatan dalaman dilakukan bagi mengenal pasti orang di sebalik 'serangan berbisa secara rahsia' terhadap DAP di Johor.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan itu tentunya memberikan gambaran buruk masyarakat terhadap pemimpin pembangkang yang tidak mampu bersepakat dalam memilih calon mereka sendiri.
Menurut beliau, ketidaksepakatan pembangkang itu bukan perkara baharu kerana mereka sememangnya tidak sehaluan dalam banyak perkara termasuk soal dasar dan hala tuju parti masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin Johor akan terus menjadi kubu kuat parti itu pada PRU-13 nanti.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kekuatan jentera yang ditunjukkan semua parti-parti komponen, selain faktor sejarah penting bermulanya UMNO di negeri itu.
''Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) baharu pulang (melawat Johor), saya pula sentiasa di sana. Nampaknya Johor masih 'biru' maknanya negeri 'strong hold' untuk BN.
''Tetapi ada kawasan-kawasan yang kita perlu beri tumpuan dan Menteri Besar pun bekerja keras. Johor ada sejarah, di situ bermulanya UMNO, saya yakin BN mampu pertahankan kedudukan di sana," katanya.


No comments:

Post a Comment