KUALA LUMPUR 10 Feb. - Polis mengesahkan penyanyi popular, Shila Amzah (gambar), 23, yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu telah ditemui semula di Kemaman, Terengganu selepas beberapa jam bapanya, ND Lala membuat laporan polis di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu itu kelmarin.
Bagaimanapun, polis dimaklumkan oleh bapanya bahawa Shila ditemui semula dalam keadaan selamat di Kemaman kira-kira pukul 4 petang semalam.
"Berita mengenai penemuan Shila Amzah itu dimaklumkan sendiri oleh ND Lala kepada pihak kami pada pukul 4 petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
ND Lala dilaporkan membuat laporan polis berhubung kehilangan Shila selepas pemenang Asian Wave 2012 itu tidak pulang ke rumah sejak seminggu lalu.
Pada Rabu lalu, penyanyi tersebut mengemas kini status di laman mikro Twitter miliknya yang memberitahu, dia berada di satu lokasi rahsia untuk mencari ketenangan.
Difahamkan, Shila menghubungi bapanya bagi memaklumkan lokasinya itu selepas laporan mengenai kehilangannya tersebar.
Sementara itu, di PULAU PINANG, penganjur Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini mengesahkan Shila Amzah akan muncul mengadakan persembahan dalam majlis itu seperti yang dijanjikan, esok.
Pengerusi penganjur, Oh Tong Keong berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak pengurusan penyanyi tersebut hari ini bagi mendapatkan pengesahan sama ada Shila akan membuat persembahan atau sebaliknya.
"Kami telah berhubung tengah hari tadi dan segalanya berjalan lancar seperti dirancang.
"Shila dijangka menyampaikan enam buah lagu di hadapan hampir 80,000 tetamu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor," katanya di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment