Blog dedah ulama Pas tolak Anwar
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Desas-desus berhubung penolakan golongan ulama di dalam Pas terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memegang jawatan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 turut didedahkan beberapa blog politik tempatan.Desas-desus itu turut diperkukuhkan dengan pendedahan mengenai pertemuan antara Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dengan Anwar di rumah tokoh ulama berkenaan di Bangi, Selangor pada 4 Februari lalu.
Menurut blog http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com, pertemuan itu bertujuan meminta Haron memujuk Dewan Syura Ulama Pas berhubung penetapan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri pembangkang seperti diputuskan dalam mesyuarat 3 Februari lalu.
"Keputusan dewan ulama itu telah bocor ke telinga Anwar. Sebab itulah selang sehari, Anwar segera memalukan diri untuk memujuk Haron Din mendesak dewan berkenaan menarik balik keputusan mengenai status Perdana Menteri," demikian menurut blog berkenaan dalam entri bertajuk 'Apa Sebenarnya Berlaku Pada 4 Februari' semalam.
Mingguan Malaysia hari ini menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum akan datang ekoran tercetusnya ura-ura Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar menduduki jawatan berkenaan.
Menurut sumber, walaupun kesahihan pendirian Majlis Syura Ulama Pas itu masih belum dipastikan namun keputusan tersebut didakwa dibuat dalam satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan.
Sebahagian besar para ulama di dalam Pas merupakan ahli majlis syura ulama berkenaan serta anggota dewan ulama parti itu.
Sementara itu, blog http://medan-info-kita.blogspot.com menjelaskan, kedatangan Anwar ke rumah Haron dibuat sejurus selepas mendapat tahu keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang tidak mencalonkannya sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya.
"Pertemuan pada malam 4 Februari (berlaku) di rumah Dr. Haron Din di Bangi. Anwar bergegas ke sana untuk minta nyawa dengan Timbalan Mursyidul Am itu.
"Mesyuarat majlis syura telah menetapkan bahawa mereka tidak akan terima Anwar sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pakatan berjaya menawan Putrajaya. Majlis syura berpendirian calon yang lebih layak adalah Presiden Pas sendiri iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang," menurut blog tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, blog http://www.anwaraidc.com/ pula mendedahkan berhubung putar belit seorang individu melalui blognya yang menyebut Haron yang mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Sedangkan menurut blog itu, berdasarkan sumber dalaman mereka, Anwar yang bertemu dengan Haron dan bukan sebaliknya.
"Individu terbabit, orang Anwar, dia terbalikkan cerita kata Haron jumpa Anwar, walhal Anwar yang pergi jumpa Haron Din.
"Dia sengaja spin (putar belit) cerita, dia nak tunjuk Anwar masih relevan hinggakan Haron terpaksa datang melutut kepada Anwar," kata sumber blog tersebut.
Ketika ditanya keperluan Anwar bertemu Haron, sumber blog itu menjawab: "Anwar minta nyawa daripada Pas."
Khamis lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, rakan-rakannya di dalam Pas mendedahkan penolakan Majlis Syura Ulama Pas terhadap Anwar ketika ini semakin kuat.
Zahrain berkata, keadaan itu berlaku ekoran percanggahan pendirian kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri dan bukannya pemimpin pembangkang lain.
Kenyataan beliau disokong beberapa lagi pemimpin Pas yang turut berada dalam majlis syura tersebut.
No comments:
Post a Comment