UTUSAN: Bagaimana Datuk terpilih sebagai penterjemah?
FATHUL BARI: Saya secara tidak langsung bersama Wisma Putra membuat persediaan menyambut kedatangan baginda ke sini. Mungkin sudah selesa dengan saya, pihak Istana Negara mencadangkan saya sebagai penterjemah. Pemilihan saya telah dimaklumkan kepada pihak Arab Saudi dan mereka bersetuju.
Apa perasaan Datuk apabila terpilih?
Ini merupakan penghormatan kepada saya untuk terlibat dalam detik bersejarah ini. Peranan diberikan amat besar kerana dapat mendekati pemimpin Islam utama dunia. Ini pengalaman yang amat manis dalam hidup saya.
Apa persediaan Datuk selaku penterjemah?
Persediaan dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana saya perlu menterjemahkan apa yang dibualkan oleh orang lain. Saya mendalami budaya Arab dan meningkatkan pengetahuan mengenai hala tuju kedua-dua negara agar dapat berperanan sebagai penterjemah yang baik.
Bagaimana Datuk melihat lawatan baginda ke Malaysia?
Sangat penting kerana Arab Saudi dianggap sebagai ketua kepada negara-negara di rantau Arab manakala Malaysia adalah negara Islam paling berkembang pesat di Asia. Lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan sesama negara Islam serta pemimpin antara kedua-dua negara secara peribadi.
Boleh Datuk gambarkan keperibadian baginda?
Baginda sangat merendah diri dan tidak meletakkan kedudukan sebagai penghalang untuk beramah mesra dengan individu di sekelilingnya. Baginda juga sangat meminati sejarah dan serius apabila berbicara mengenai kepentingan umat Islam.
No comments:
Post a Comment