Monday, October 15, 2012

JASA DAN PENGORBANAN TUN RAZAK KEPADA FELDA


Saya tidak akan mengkhianati legasi FELDA ini, apatah lagi saya sebagai anak kepada pengasas FELDA , sudah tentu tidak akan mengkhianati perjuangan ayahanda saya yang telah membina FELDA  dengan bersusah payah , dengan jerih perit pengorbanannya yang telah dilakukan bertahun-tahun.

Adalah menjadi matlamat saya untuk melakukan yang terbaik supaya legasi Tun Razak bukan sahaja di pertahankan tetapi juga ditambah nilai mengikut kesesuaian masa.



FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, pastinya tidak dapat dipisahkan dengan negarawan ulung, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Perdana Menteri yang kedua. Tun Abdul Razak amat prihatin terhadap masalah kemiskinan masyarakat luar bandar dan komited untuk melihat perubahan keadaan ekonomi dan sosial masyarakat luar bandar. Beliau pernah merasai keperitan hidup dalam serba kekurangan semasa membesar dan bersekolah.

Kini, FELDA telah berusia 55 tahun. Menyingkap sejarah, Tun Abdul Razak telah menubuhkan jawatankuasa yang dikenali sebagai “Government Working Party” pada Ogos 1955.  Berdasarkan laporan dan cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini, pada 1 Julai 1956, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Federal Development Authority (FELDA) ditubuhkan secara rasmi di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956.

Pada 1 Ogos 1956, D.E.M Fiennes telah dilantik sebagai pengerusi pertama FELDA. Pada peringkat awal penubuhannya, FELDA berperanan menyalurkan peruntukan kewangan kepada Rancangan Kemajuan Tanah Kerajaan negeri. Projek pertama di bawah pembiayaan FELDA ialah Projek Rancangan  Kemajuan Tanah, Air Lanas, Tanah Merah, Kelantan seluas 1680 hektar pada Mac 1957. Rancangan-rancangan awal pembangunan tanah oleh FELDA ini meliputi tempoh Rancangan Malaya Pertama, iaitu dari 1956 hingga 1960. Bagi memastikan projek ini berjaya, Tun Abdul Razak telah turun padang merentas kampung dan desa bagi meninjau dengan lebih dekat setiap projek yang dilancarkan oleh kerajaan. Tun Abdul Razak sanggup berhujan, berpanas, mengharung belukar, lumpur, titi dan jambatan untuk berjumpa dengan penduduk luar bandar. Tun Abdul Razak bermesra, berbincang dan mendengar sendiri rintihan rakyat.

Selepas kemerdekaan negara pada 1957, FELDA diletakkan di bawah Kementerian Sumber-sumber Asli. Kemudian, diletakkan pula di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang ditubuhkan pada 17 November 1959. Kementerian ini diterajui oleh Tun Abdul Razak sendiri yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas berakhirnya darurat pada 1960, Razak meneruskan komitmennya bersama-sama FELDA. Sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tun Abdul Razak telah membentangkan dengan jelas idea-ideanya tentang konsep pembangunan luar bandar dan rancangan kemajuan tanah. Langkah pertama yang diambil ialah membentangkan undang-undang baharu di Dewan Rakyat, iaitu “The Group Settlement Areas Bill 1960” pada 27 April 1960. Undang-undang ini bertujuan mempergiatkan dan memperkemaskan rancangan pembukaan tanah serta pemberian tanah kepada penduduk luar bandar.

Dalam tempoh Rancangan Lima Tahun (1961-1965), FELDA telah berjaya membuka 60 rancangan tanah, menanam sejumlah 129 369 ekar getah, 9255 ekar kelapa sawit dan menempatkan sebanyak 9255 keluarga peneroka di tanah-tanah rancangan.

Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Kedua pada 22 September 1970. Tun Abdul Razak terus memacu ekonomi luar bandar dan membela rakyat miskin terutama yang tinggal di luar bandar dengan mengemukakan program 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru yang diumumkan ketika pelancaran Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975). Program ini telah dirangka dengan memasukkan strategi yang bermatlamat untuk menyusun semula masyarakat Melayu di luar bandar yang bergantung semata-mata kepada bidang pertanian. Berikutan itu, konsep baharu dalam rancangan-rancangan tanah berdasarkan kepada pembangunan wilayah baru mula diperkenalkan seperti Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Dalam usahanya yang tidak mengenal penat lelah membangunkan negara dan membantu rakyat, telah kedengaran suara-suara sumbang mengatakan Tun Abdul Razak hanya mementingkan kaumnya sendiri. Walaubagaimana pun perkara ini telah diperjelaskan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Thong Yaw Fong (dipetik dari buku Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot) bahawa, “Secara kebetulan kemiskinan berada di kampung-kampung dan yang miskin adalah orang Melayu. Matlamat Tun Abdul Razak pula adalah untuk pembangunan nasional yang memerlukannya untuk membetulkan ketidakseimbangan”. Oleh hal itu, tumpuan terpaksa diberikan kepada kumpulan ini dengan memasukkan mereka ke dalam rancangan pembangunan tanah seperti FELDA.

Kini, setelah 55 tahun mengorak langkah, FELDA mempunyai kira-kira 1.6 juta keluarga peneroka di 317 tanah rancangan. Sejarahnya bermula dengan penempatan 30 orang peneroka pada 2 Ogos 1959, di bawah rancangan pertama yang dibangunkan di rimba Lembah Bilut, Pahang. Rancangan pembukaan tanah yang diusahakan oleh  FELDA, bukan sahaja meliputi negeri-negeri di Semanjung Malaysia, bahkan juga merentasi Laut China Selatan.

Usaha Tun Abdul Razak memperjuangkan nasib golongan miskin dan luar bandar diteruskan dan diperkembangkan oleh generasi selepasnya. Antara usaha tersebut termasuklah penubuhan Gabungan Wawasan Generasi FELDA yang dianggotai oleh anak-anak peneroka bergelar golongan profesional pada 2002. Gabungan ini bertujuan untuk melonjakkan status sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka bagi tempoh 20 tahun akan datang dan meletakkanya seiring dengan kemajuan glokal.|

Kini, FELDA telah berkembang luas ke serata dunia, pelancaran Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) pada 2006 telah berjaya memperkembangkan sayap perniagaan FELDA ke luar negara dan meletakkannya sebagai konglomerat yang tersohor. Langkah ini berjaya menjadikan FELDA berterusan kompetitif dalam perniagaan. Pada masa yang sama, misi asal penubuhannya untuk menjaga kepentingan dan kebajikan warga peneroka tetap terpelihara.

Sesungguhnya pencapaian dan kejayaan FELDA hari ini merupakan hasil cetusan idea “Bapa Pembangunan” yang namanya terus dikenang selagi FELDA terus beroperasi menjangkau ke seluruh dunia. Hasil gagasan idea Tun Abdul Razak telah berjaya merubah landskap negara dan menjadi lambang kejayaan dan kegigihan pemimpin yang tegas dan mempunyai wawasan. Pemergian negarawan ulung berjiwa rakyat di kala khidmat dan jasanya diperlukan lagi amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 di London kerana penyakit leukemia dan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Sepanjang hayat Allahyarham, khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara mengatasi segala kepentingannya. Maka wajarlah gelaran “Bapa Pembangunan” dianugerahkan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak.