Tuesday, September 25, 2012

MENSYUKURI NIKMAT KEMERDEKAAN




Kemerdekaan sahaja tidak bermakna jika selepas merdeka negara tidak mencapai kemajuan. Sebab itulah setelah mencapai kemerdekaan Kerajaan Malaysia yang merdeka telah berusaha membangunkan negara. Usaha ini telah membawa hasil diluar jangkaan. 
Daripada sebuah tanah jajahan yang mundur, Malaysia sekarang muncul sebagai salah satu daripada negara yang termaju antara negara-negara membangun. Kemungkinan Malaysia menjadi lebih maju dan rakyat Malaysia hidup lebih selesa dan bahagia bukan lagi satu perkara yang mustahil.

Salah satu nikmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia KEMERDEKAAN  . Oleh itu,  wajiblah kita  mensyukuri atas nikmat Allah itu kerana kita diberi kesempatan menyambut kemerdekaan diri dan negara ke-55 dalam suasana yang penuh aman, damai dan sejahtera.
Menginsafi akan nikmat yang dianugerahi Allah s.w.t. kepada kita dengan pelbagai kekayaan hasil bumi, kemudahan infrastruktur, pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya, maka eloklah kita merenung diri sendiri dan bertanya: Apakah sumbangan kita terhadap agama, bangsa dan negara selepas 55 tahun negara kita mencapai kemerdekaan?
Sekiranya kita menyedari akan hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah s.w.t sebagaimana firmannya di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 20 yang bermaksud: ”Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya:Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu).
Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. supaya kita memperbaiki diri akan kebebasan kita daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme.
Dalam konteks kesyukuran terhadap nikmat Allah ini, secara realitinya kita dapat bandingkan dengan negara lain seperti yang terpapar di dalam televisyen dan akhbar jelas tergambar akan pelbagai bala bencana dialami manusia – banjir, gempa bumi, kemarau, runtuhan salji, letupan gunung berapi dan peperangan dialami di negara-negara lain.
Misalnya di negara Afrika, masih ramai yang menderita kelaparan dan tidak menikmati pendidikan asas sebagai tunjang pembangunan bangsa dan negara.
Dengan demikian, kita sepatutnya memetik hikmah itu agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri nikmat keamanan, kekayaan dan kedamaian yang diberikan kepada negara kita yang tercinta ini dan seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya. Untuk itu, kita wajar merenung firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan salah sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezeki yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya yang disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” (surah an-Nahl ayat 112)
Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya bererti kita memanfaatkan segala anugerah Allah dengan turut serta mengisi kemerdekaan iaitu melakukan kerja-kerja yang bermanfaat dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani, sebagaimana yang digariskan dalam wawasan negara.
Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi dan kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi kita merupakan anugerah Allah s.w.t. dan kita wajib bersyukur. Allah s.w.t. berfirman: ”Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim ayat 7).
Antara Islam dan syukur itu ada hubungan yang tak mungkin terpisah dan tidak mungkin adanya yang satu tanpa hadirnya yang lain. Dapatlah ditegaskan bahawa kedua-duanya merupakan dua sisi dari satu mata wang.
Jelas bahawa bersyukur itu merupakan tugas pertama dan utama bagi mereka yang ingin mematuhi kehendak Allah. Setiap muslim wajib mensyukurkan setiap nikmat yang telah diterimanya dari Maha Penciptanya, jika tidak ia masih dinilai belum Islam dalam erti kata yang sebenar. Orang yang tidak pandai bersyukur sebenarnya dianggap telah kufur pada nikmat tapi belum sampai kufur akidah.
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka (tidak bersyukur) dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra ayat 16)

No comments:

Post a Comment