Wednesday, September 30, 2015

SAYA TIDAK AKAN TUNDUK

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman tidak gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa agama negeri kerana khutbah Aidiladha yang mendakwa DAP menentang Islam.

Abdul Rahman Osman
Menurut beliau, khutbah ter­sebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.
“Kita tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu jabatan ini memohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.
“Sepatutnya mereka yang me­mohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas me­ngenai tindakan DAP kelmarin yang menggesa JAIP memohon maaf ber­hubung teks khutbah Aidiladha itu.
Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi masa lima hari sehingga Rabu ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Menurut Abdul Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu dan tidak menghormati institusi Islam.
“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman ka­mi dan meminta kami memohon maaf,” katanya.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang itu, umat Islam dinasihat supaya terus bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.
Perpecahan itu kerana meng­utamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Is­lam seperti UMNO, Pas, PKR dan ditambah dengan Parti Amanah Negara (Amanah) malahan ada dalam kalangan umat Islam yang menyertai DAP secara terang-terangan menentang Islam.
Teks khutbah yang dibaca oleh Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 itu turut mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.
Abdul Rahman berkata, kan­dungan dalam khutbah berkenaan adalah benar dan bukannya ber­baur fitnah serta telah merujuk kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran.
Menurutnya, surah berkenaan menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin.
“Kandungan dalam khutbah Ai­diladha bukan hasutan seperti didakwa DAP tetapi kita hendak berdakwah dan memberitahu ke­pada orang Islam lain mengenai perkara yang sudah dinyatakan dalam al-Quran.
“Kalau kita lihat dalam beberapa isu seperti hudud sebelum ini, mereka menentangnya yang ber­makna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak pernah me­nafikan hak orang lain walaupun Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia,” katanya.

JANGAN SIBUK URUSAN ISLAM

Pas meminta DAP supaya tidak campur tangan dalam isu-isu berkaitan agama Islam dan mengganggu urusan pentadbiran Jabatan Mufti Pahang.
Mohd. Amar
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu juga sepatutnya tidak membuat kecoh di media massa kerana tindakan itu hanya akan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Pada pandangan saya, DAP tidak patut campur dalam isu-isu yang bersifat agama. Kalau ada perkara yang sensitif, sepatutnya mereka berjumpa terus dengan pihak berkenaan (Jabatan Mufti Pahang) dan berbincang dengan cara baik.
“Bukannya dengan mengeluarkan kenyataan di akhbar. Kerana kenyataan di akhbar begini hanya boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat sahaja. Pada saya, itu lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tuesday, September 29, 2015

MAALAYSIA DALAM KEDUDUKAN YANG BAIK DALAM MEREALISASI NEGARA BERPENDAPTAN TINGGI

Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 meskipun berhadapan situasi ekonomi dunia semasa yang tidak menentu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin (Selasa di Malaysia)
Namun, Perdana Menteri berkata, negara mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan serta kejutan luaran yang di luar kawalan.
Bercakap pada Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Dunia (GSIAC) kelima di sebuah hotel di Manhattan di sini, Najib menegaskan bahawa asas ekonomi negara kukuh, dan ada petunjuk bahawa ekonomi negara berada pada jajaran yang tepat.
Beliau berkata, tidak seperti krisis ekonomi Asia pada 1998 yang menyaksikan ekonomi menguncup dengan negatif tujuh peratus, ekonomi dijangkakan berkembang pada kadar lima peratus.
Najib berkata, berdasarkan pengalaman daripada krisis 1998, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada negatif 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.2 peratus tahun ini.

KHIR TETAP KE PENJARA 12 BULAN



Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta lapan tahun lalu.

Panel lima hakim yang bersidang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan demikian terhadap Mohamad Khir selepas menolak rayuan motigasi hukuman Mohamad Khir yang memohon supaya dia diberi hukuman denda atau perintah khidmat masyakat atas kesalahan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta lapan tahun lalu.

Korum berkenaan turut dianggotai Tan Sri Ahmad Maarop; Tan Sri Hasan Lah; Tan Sri Jeffery Tan Kok Hwa; dan Datuk Ramly Ali.

Dalam keputusannya hakim berkata, hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat tidak bersesuaian untuk kesalahan jenayah rasuah dan sebagai penjawat awam.

Mahkamah itu turut mengarahkan Mohamad Khir dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada cas bank.

Suasana galeri awam mahkamah yang padat dipenuhi penyokong dan ahli keluarga Mohamad Khir agak suram selepas mendengar keputusan berkenaan.

Mohamad Khir, 50, merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013 yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zahrah Kechik, 48, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 menasabitkan Mohamad Khir bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin Hayroni yang merupakan pengarahnya.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Mohamad Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.  

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu. - SINAR HARIAN

TAKZIAH , POLIS CILIK MENINGGAL DUNIA



Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Farish Danish Akasha yang meninggal dunia akibat kanser semalam.

"Seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham adik Faris Danish Akasha Bin Fauzi di atas kehilangan anak tercinta dan semoga sentiasa cekal dalam menghadapi dugaan mendatang," petik kenyataan dalam laman Facebook rasmi PDRM.

Sebelum ini, Farish, 9, mendapat perhatian selepas hasrat untuk menjadi seorang pegawai polis direalisasikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu program lawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Mei lalu.

Dalam program itu, Faris dipakaikan seragam polis berpangkat inspektor bersama tag nama tertera namanya dan turut dibawa menaiki kereta peronda polis.

Faris dikebumikan di Bandar Sunway, Selangor.

FELDA BAKAL ADA PEMAIN GOLF


Siapa sangka, satu hari nanti Felda akan mempunyai pemain golf terbaik dunia walaupun tidak setaraf Tiger Wood. 

Inilah yang dilakukan oleh FELDA melalui Yayasan Felda dalam usaha mencungkil bakat pemain golf melalui Akademik Golf FELDA (AGF). Boleh jadi satu hari nanti apabila kita pergi ke tanah rancangan Felda, yang kita nampak adalah adalah padang golf selain daripada pokok kelapa sawit. 

Rupa-rupanya AGF telah mengadakan pemilihan sejak Oktober tahun lepas lagi. Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad. Pencarian bakat muda ini melibatkan di  enam wilayah Felda dikalangan anak dan cucu peneroka. Siapa tahu anak Felda bakal mengharum nama Malaysia di mata dunia satu hari nanti.

Setahun pencarian bakat ini, akhirnya Felda berjaya mengumpul 62 peserta yang terpilih termasuk 10 pemain wanita menyertai AGF Januari lalu yang dilaksanakan di dua tempat iaitu di A’Famosa Golf Resort Melaka dan Taiping Golf Resort, Perak. 

Semoga hasrat Felda melahirkan pemain golf profesional dan ahli sukan berlatar belakang pendidikan cemerlang menjadi kenyataan.

Tan Sri Isa Samad berkata, AGF  telah melantik Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dalam urusan mengurus dan melatih pelajar. Mereka juga ditawarkan dalam pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan dengan semua kos ditanggung oleh  FELDA.

Dalam pertandingan itu, juara milik Muhammad Syahmie Aidi, 18, manakal naib juara Mohd Syafiq Abd Rahman, 18 dan Abdul Fatah Hamid, 20 ketiga. Manakala bagi kategori wanita, Nur Athirah Sa'ari, 19 sebagai juara, Lily Wahidah Abd Wahid, 21 naib juara dan Nor Fateha 19, ketiga. Semua Hadiah di sampaikan oleh Tan Sri Mohd Isa .  Turut hadir, Pengerusi AGF Datuk Mohd Isa Abu Kassim dan Naib Presiden Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Datuk Khairil Anuar Aziz. 


Begitulah bertuahnya menjadi warga Felda, hampir segalanya disediakan demi kemudahan generasi Felda. Semoga warga Felda menjadi contoh warga yang bersyukur dengan nikmat kemudahan yang ada. 


MANFAAT EKONOMI DALAM HUBUNGAN DENGAN CHINA


Sejarah hubungan perdagangan antara Malaysia dan China bukannya baru. Sejak zaman kerajaan Melayu Melaka lagi hubungan dua hala negara ini sudah terjalin erat. Bermula sejak abad ke-13 lagi. Sejarah panjang ini memperlihatkan hubungan dua hala yang cukup mantap dan memberikan kesan langsung kepada kedua-dua buah negara. 

Kini Malaysia dan China sudah menjadi rakan akrab yang saling menyokong dan mempercayai. Seiring dengan kemajuan yang dicapai dalam hubungan dua hala, kepentingan bersama antara kedua-dua negara akan turut meningkat, dan rakyat juga dapat menikmati lebih banyak manfaat.

 Kerjasama antara China dan Malaysia telah meningkat dengan begitu pesat. Sejak tahun 2008, Malaysia telah menjadi rakan dagang terbesar China di dalam ASEAN selama tiga tahun berturut-turut. China pula menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama dua tahun berturut-turut. Pada tahun 2010, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara ini mencecah 74.2 bilion dolar Amerika, mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

Hari ini Malaysia sekali lagi menjemput China menjalinkan kerjasama bagi mewujudkan "port alliance". Usaha ini bagi  meningkatkan daya saing serta memudah urus keluar masuk kontena memandangkan kedua-dua negara mempunyai banyak pelabuhan antarabangsa. 

Konsep ini bukan sahaja antara kedua-dua negara, malah negara Asean lain juga turut dipelawa menyertainya bagi merancakan ekonomi serantau. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata" buat masa ini Malaysia telah mendapat kerjasama daripada China yang telah melabur 40 peratus ekuiti dalam Pelabuhan Kuantan dalam usaha menaik taraf pelabuhan tersebut menjadi sebuah pelabuahan antarabangsa. 

Selain itu sebuah lagi pelabuhan  baru iaitu "Melaka Gateway" juga mendapat sokongan dari China. Pelabuhan Melaka Gateway ini bakal dijadikan pelabuhan antarabangsa baharu yang dapat menerima kontena serta menjadi "cruise terminal" kepada pelancong dari China. 

Terbaru, China dan kerajaan negeri Melaka telah menandatangani perjanjian untuk membuat pelaburan yang berjumlah lebih RM44 bilion yang mana pelaburan ini dijangka bukan sahaja dapat menarik ramai pelancong dari negara tersebut bahkan pelabur-pelabur luar. Ia bagaikan mengembalikan kegemilang kerajaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan ternama dunia. 

Semoga hubungan kedua-dua negara terus terjalin dengan baik dan erat  selamanya.