Tuesday, September 29, 2015

KHIR TETAP KE PENJARA 12 BULAN



Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta lapan tahun lalu.

Panel lima hakim yang bersidang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan demikian terhadap Mohamad Khir selepas menolak rayuan motigasi hukuman Mohamad Khir yang memohon supaya dia diberi hukuman denda atau perintah khidmat masyakat atas kesalahan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta lapan tahun lalu.

Korum berkenaan turut dianggotai Tan Sri Ahmad Maarop; Tan Sri Hasan Lah; Tan Sri Jeffery Tan Kok Hwa; dan Datuk Ramly Ali.

Dalam keputusannya hakim berkata, hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat tidak bersesuaian untuk kesalahan jenayah rasuah dan sebagai penjawat awam.

Mahkamah itu turut mengarahkan Mohamad Khir dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada cas bank.

Suasana galeri awam mahkamah yang padat dipenuhi penyokong dan ahli keluarga Mohamad Khir agak suram selepas mendengar keputusan berkenaan.

Mohamad Khir, 50, merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013 yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zahrah Kechik, 48, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 menasabitkan Mohamad Khir bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin Hayroni yang merupakan pengarahnya.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Mohamad Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.  

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment