Monday, March 31, 2014

Israel roboh kompleks masjid

BAITULMAQDIS 30 Mac - 

Beberapa jentolak milik Israel dilapor merobohkan sebuah kompleks yang menempatkan masjid, pangsapuri dan pusat perubatan milik penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis, Rabu lalu.

Laman web d.intimes.co.uk melaporkan, pemilik kawasan tersebut, Abu Ghaliya berkata, bangunan berkenaan dirobohkan tanpa sebarang notis awal daripada pihak berkuasa Israel.

Saksi melaporkan kepada Maan News Agency, polis dan pasukan khas Israel menyerbu masuk ke Dataran Khallat al-Ein dalam kawasan penempatan al-Tur di timur bandar lama Baitulmaqdis untuk merobohkan kompleks itu.

Para kakitangan mengosongkan kompleks dan menutup pili gas dan air sebelum jentolak terbabit dibawa masuk.

Abu dikatakan tidak mempunyai permit pembinaan yang diperlukan, namun menurutnya dia telah cuba mendapatkan permit itu selama 18 tahun daripada Majlis Perbandaran Baitulmaqdis.

"Datuk Bandar Baitulmaqdis telah meluluskan pembinaan di kawasan itu, tetapi Kementerian Dalam Negeri Israel menentang pembinaan terbabit," katanya.

Bulan lalu, sebuah pertubuhan bantuan memberi amaran terhadap tindakan Israel merobohkan hartanah milik rakyat Palestin yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan, 25 pertubuhan mendedahkan tindakan Israel itu meningkat setiap tahun.
Sebanyak 112 daripada 663 penempatan Palestin yang dimusnahkan pada 2013 dibina menggunakan bantuan kewangan antarabangsa.


SUMBER