Thursday, August 16, 2018

JAWAB TIGA SOALAN - GUAN ENG




Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menjawab tiga soalan berkaitan kehilangan RM19.25 bilion dalam tabung bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikatakan telah menjejaskan sebanyak 121,429 syarikat dan individu.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi soalan pertama, Najib perlu menyatakan sama ada beliau telah meluluskan agar pembayaran balik GST tidak dilakukan dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang.


“Soalan kedua, Najib perlu menjelaskan sama ada beliau telah memberi kebenaran kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah untuk tidak memindahkan keseluruhan jumlah RM82.9 bilion seperti diminta Jabatan Kastam Diraja Malaysia tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak 2015, yakni kekurangan pemindahan dana sebanyak RM19.25 bilion kepada tabung bayaran balik GST ?

“Soalan ketiga pula, adakah Najib memberikan kelulusan agar jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati?” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bangunan Parlimen, hari ini.

Pada 11 Ogos lalu, Najib mempersoalkan mengapa Guan Eng hanya menye­dari terdapat tunggakan tuntutan bayaran balik GST selepas tiga bulan dilantik sebagai Menteri Kewangan.


Guan Eng menambah, walaupun Mohd. Irwan Serigar bertanggungjawab terhadap kegagalan pembayaran balik GST itu, perkara tersebut masih perlu kelulusan Menteri Kewangan ketika itu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Guan Eng menambah, kerajaan akan membuat pembayaran balik mulai tahun hadapan.

“Walaupun pembayaran balik GST melibatkan jumlah yang begitu tinggi, kerajaan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan komited membuat pembayaran balik mulai tahun depan bagi jumlah dana yang telah ditahan secara salah atau ‘haram’ oleh kerajaan terdahulu,” katanya.


No comments:

Post a Comment