Tuesday, July 10, 2018

UEC - CINA PUN RUGI



Iktiraf UEC akan turut jejaskan kepentingan kaum Cina


Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya akan menguntungkan segelintir kaum Cina di negara ini dan bukannya untuk kepentingan kaum itu secara keseluruhan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, jika UEC diiktiraf terutama untuk kemasukan ke nstitusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kemasukan ke sektor awam, ia sudah tentu akan menjejaskan peluang pelajar-pelajar Cina di aliran kebangsaan.


Katanya, ramai yang tidak menyedari, dengan mengiktiraf UEC, peluang anak-anak Cina dari aliran kebangsaan untuk mendapat tempat di IPTA dan sektor awam akan terjejas kerana mereka terpaksa bersaing dengan pelajar UEC.

“Pengiktirafan kerajaan terhadap UEC bermakna pelajar aliran vernakular swasta Cina kini boleh memohon masuk ke IPTA yang yurannya jauh lebih murah. Mereka juga mahu masuk ke sektor awam yang mempunyai banyak kelebihan berbanding sektor swasta.

“Tidak timbul di sini soal keadilan, kesaksamaan atau meritokrasi kerana peluang untuk mereka (lepasan UEC) sentiasa ada di sektor swasta kerana yang rugi adalah pelajar Cina dari aliran kebangsaan.

“Bahkan, mereka (lepasan UEC) juga boleh menyertai sektor awam setelah melalui proses-proses peralihan dan jika mahu dikatakan mengenai keadilan, mereka perlu tahu bahawa tuntutan itu bakal menyebabkan peluang pendidikan tinggi dan pekerjaan anak-anak Cina dari aliran Kebangsaan terjejas. Adakah ini yang mereka mahu lihat,” soal beliau.

Tambah Kok Seong, pihak-pihak yang mencadangkan supata kerajaan mengiktiraf UEC bagai menahan lukah di tebingan dan cuba mengambil peluang daripada perubahan politik semasa untuk kepentingan mereka.

Beliau menegaskan, apa yang penting ketika ini ialah usaha untuk memperkasakan lagi Dasar Pendidikan Negara (DPK) bagi mewujudkan pelajar holistik yang mampu membina masyarakat yang benar-benar bersatu.

Tambah beliau, permintaan yang hanya menumpukan kepentingan sebelah pihak seperti tuntutan pengiktirafan UEC sepatutnya tidak dilayan kerana tindakan itu hanya akan merugikan negara di masa hadapan. - UTUSAN ONLINE


No comments:

Post a Comment