Wednesday, May 16, 2018

MALAYSIA TAK JADI BANGKRAP !



Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mewarisi ekonomi yang kukuh, de­ngan purata pertumbuhan 5.5 pe­ratus sejak lapan tahun lepas, kata Moody’s Investors Service.

Namun beban hutang negara yang tinggi masih menjadi cabaran utama kredit dan Moody’s me­nganggarkan nisbah keluaran da­lam negara kasar/hutang (KDNK) pada 50.8 peratus pada akhir 2017, melepasi median 40.1 peratus bagi negara yang diberikan penarafan A/.


“Walaupun kerajaan sebelum ini mencapai pengurangan defisit fiskal kepada 2.8 peratus untuk lapan tahun berturut-turut mengikut Bajet 2018, perbelanjaan yang lebih rendah merupakan pemacu penyepa­duan, dengan bahagian hasil kepada KKDNK susut sejak 2012.

“Memandangkan keupayaan kerajaan yang terhad untuk me­ngurangkan lagi perbelanjaan, beban defisit dan hutang dijangka berlegar pada paras semasa,” kata Naib Presiden Kumpulan dan Peng­analisis Kanan Risiko Moody’s, Anushka Shah dalam kenyataan hari ini.

Pemansuhan beberapa pembaharuan tanpa sebarang pelarasan lain, akan meluaskan defisit, dan jika kerajaan memilih untuk me­laksanakan janji kempennya tanpa melakukan pelarasan atau menyeimbanginya, ia akan menjadi negatif (penarafan) bagi Malaysia.

Ini termasuk cadangan pemansuhan Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST) dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), seperti yang dicada­ngkan oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anushka berkata, SST secara bersendirian, ia tidak akan dapat menyamai kutipan hasil berjumlah RM44.3 bilion pada 2017 atau 3.3 peratus daripada KDNK.

“Memansuhkan GST juga akan memperkenalkan risiko mengurangkan pendapatan dan meningkatkan pergantungan kepada pendapatan berkaitan minyak, yang berkurangan sejak pengenalan GST pada 2014.

“Satu lagi cadangan ialah memperkenalkan semula subsidi bahan api, suatu janji kredit negatif kerana ia akan mengganggu mekanisme harga berasaskan pasaran, yang akan menjejaskan kedudukan fiskal Malaysia melalui subsidi yang lebih tinggi, serta imbangan pembayaran melalui keanjalan yang lebih rendah bagi import minyak ke atas pergerakan harga,” katanya.

Menurut Anushka, disiplin fis­kal penting untuk meningkatkan keyakinan pasaran, terutama memandangkan bukan pemastautin memegang 28 peratus daripada sekuriti kerajaan pada akhir 2017 dan 28.5 peratus ekuiti di Bursa Malaysia pada April 2018, yang meletakkan kedudukan negara terdedah kepada perubahan aliran modal dan sentimen pelabur.

“Kami mengunjurkan penunjuk pendedahan luar Malaysia, yang kami gunakan untuk mengukur pendedahan negara kepada aliran modal yang berhenti secara tiba-tiba, pada kedudukan 145.6 peratus pada 2018, paras yang tinggi di peringkat global, terutama jika dibandingkan dengan kerajaan lain yang diberi nilai A,’’ ujarnya.

Ini mengambil kira rizab asing yang terus meningkat lebih tinggi sepanjang tahun lalu kepada AS$ 102.9 bilion pada akhir April 2018. –BERNAMA

Penampan lain, termasuk institusi domestik yang besar yang menyediakan dana pembiayaan untuk hutang mata wang tempatan dan lebihan akaun semasa bertindak sebagai mitigasi,” katanya. –BERNAMA



No comments:

Post a Comment