Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada para pemandu teksi terhadap Kad Bantuan Teksi 1Malaysia pada 13 April, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ingin memaklumkan bahawa warga pemandu tidak perlu risau kerana SPAD telah menyediakan 67,000 kad bantuan untuk mereka.
Tambahan pula, pemandu teksi diberi tempoh selama 3 bulan (dari 16 April sehingga 16 Julai 2018) untuk mengambil kad bantuan tersebut dari pejabat-pejabat cawangan SPAD seperti yang tertera di dalam lampiran di bawah. Segala urusan pengambilan kad ini adalah tertakluk kepada waktu pejabat dan hari-hari kelepasan am setempat. Tarikh dan tempat pengambilan untuk para pemandu di Sabah dan Sarawak akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak.
Semua kad bantuan akan diaktifkan setelah diambil oleh pemandu teksi dan mereka boleh membelanjakan nilai sehingga RM800 untuk pembelian petrol dan NGV di stesen-stesen Petronas di seluruh negara.
SPAD juga ingin menjawab segala tohmahan di laman media sosial yang mendakwa kononnya “para pemandu menjadi marah selepas diberitahu kad bantuan hanya akan diberikan selepas pilihanraya.” Dakwaan terebut adalah palsu kerana ribuan pemandu telah mengambil kad masing-masing selepas Kad Bantuan 1Malaysia dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Razak pada 13 April 2018 di MAEPS, Serdang; malahan kesemua kad telah diaktifkan sebaik sahaja diambil oleh pemandu.
Jika dakwaan-dakwaan liar masih berleluasa, SPAD tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis agar penyebar-penyebar berita tersebut disiasat oleh pihak berkuasa.
SPAD ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada persatuan-persatuan pemandu dan seluruh pemandu teksi yang telah meluangkan masa untuk hadir pada majlis berkenaan.
No comments:
Post a Comment