Friday, February 2, 2018

MAHFUZ HELLO...HELLO..., BOLEH BLAH KEMANA DIA SUKA




Datuk Mahfuz Omar bebas menyertai DAP atau mana-mana sahaja parti politik demi menjaga survival politiknya dan Pas tidak berminat untuk mengetahui hala tuju Ahli Parlimen Pokok Sena itu kerana tidak membawa apa-apa impak kepada parti.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Muhammad Khalil Abdul Hadi juga berkata, Mahfuz bagaikan bermimpi di siang hari kononnya ada ahli-ahli Pas akan bersama beliau untuk menyokong Pakatan Harapan yang diketuai DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.


Jelasnya, ini kerana kesemua mereka yang ‘bermasalah’ seperti Mahfuz telah pun dipecat atau meninggalkan parti berkenaan, sekali gus membuatkan Pas kini hanya disertai oleh mereka yang benar-benar memperjuangkan agenda Islam dan amalan politik matang yang ditekankan oleh parti itu tanpa menyebelahi Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN).

“Itu hak beliau (Mahfuz) untuk sertai mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan atau DAP, ke mana beliau pergi tidak memberi kesan kepada Pas.

“Pas kini sudah kukuh dan kesemua mereka yang ‘bermasalah’ seperti beliau telah pun dipecat atau terkeluar daripada parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Muhammad Khalil diminta mengulas kenyataan Mahfuz bahawa beliau akan mengumumkan keputusannya untuk kekal sebagai wakil rakyat bebas atau menyertai mana-mana parti komponen Pakatan Harapan dalam tempoh 45 hari akan datang.

Dalam kenyataan beliau juga, Mahfuz berkata, keputusan parti mana yang akan beliau sertai bakal diumumkan dalam tempoh 45 hari akan datang dan turut menjelaskan mahu mengajak rakan-rakannya di dalam Pas untuk bersama-sama memenuhi agenda Pakatan Harapan.

Mahfuz keluar daripada Pas sejak 1 Januari lalu selepas dikatakan tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan parti itu.

Tambah Muhammad Khalil, terdapat ramai pihak cuba menggunakan Pas untuk kepentingan masing-masing, namun dengan berbekalkan kekuatan ahli-ahli parti yang setia, perjuangan Pas tidak akan terkeluar daripada landasan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment