Wednesday, August 30, 2017

SPRM SUDAH MARI, MANA MAU LARI ?




SERBUAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Pemerba­danan Menteri Besar (MBI), syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) dan Universiti Selangor (Unisel) Selasa lalu bukan sesuatu yang pelik kerana badan itu hanya men­jalankan siasatan selepas laporan dibuat pihak awam selain kemungkinan ada asas ku­kuh di sebalik laporan tersebut.

Tindakan SPRM itu adalah bukti bahawa suruhanjaya tersebut benar-benar serius dalam memerangi jenayah rasuah serta ia juga petunjuk jelas bahawa tiada istilah pi­lih bulu dalam soal salah guna kuasa, sama sebagaimana serbuan ke atas konglo­merat seperti Felda dan beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN).



Namun reaksi segera daripada Pejabat Menteri Besar Selangor nyata amat mengejutkan. Ketika serbuan sepa­sukan lima pegawai SPRM di pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan masih belum selesai, Pejabat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah pun membuat kenyataan menuduh serbuan tersebut sengaja dirancang bagi memburukkan imej Kerajaan PKR Selangor.

Persoalannya kenapa sampai begitu sekali Mohamed Azmin melenting? Tanpa usul periksa terus menuding jari kepada SPRM, sedangkan selama ini beliau mendakwa sentiasa membuka pintu kepada badan penyiasat tersebut untuk melakukan siasatan jika wujud dakwaan oleh mana-mana pihak berlakunya unsur penyelewengan atau salah guna kuasa di Sela­ngor.

Barangkali jika dakwaan dirancang mahu digunakan, tuduhan sama boleh dilemparkan kepada Mohamed Azmin selaku Pengerusi MBI. Ini kerana SPRM mungkin tidak akan menyerbu ketiga-tiga entiti terbabit jika MBI tidak menjadikan isu pertikai­an kontrak antara JNSB dan Unisel sebagai skandal dengan persoalan, apakah bayaran RM16 juta kepada JNSB juga dirancang?

Jika ia bukan satu rancangan yang di bawah penge­tahuan Mohamed Azmin, mengapa MBI tetap mahu membayar kepada JNSB yang kontraknya telah pun ditamatkan Unisel? Mengapa begitu sekali istimewanya layanan MBI kepada JNSB meskipun terbukti gagal menunaikan tanggungjawab penyelenggaraannya sebagaimana termaktub dalam perjanjian asal dengan Unisel?

Andai ia bukan satu perancangan yang mungkin melibatkan motif keuntung­an politik, mengapa JNSB masih diberikan sambungan kontrak baharu, ketika tender baharu sudah pun dibuka sehingga membelakangkan keputusan terdahulu yang dibuat jawatankuasa kuasa tender Lembaga Unisel dan siapa pula yang memberikan arahan agar JNSB diberikan kontrak sambungan?

Sebenarnya tiada keperluan untuk Kerajaan PKR Selangor melenting kerana belum ada mana-mana individu pun di bawa ke mahkamah atau disabitkan bersalah dalam isu skandal MBI-JNSB dan Unisel itu. Malah, jika siasatan SPRM nanti tidak menemui sebarang unsur penyelewengan, imej Kerajaan PKR Selangor sendiri yang akan menokok di mata rakyat.

Kecualilah sifat dan kenya­taan defensif dengan menya­lahkan SPRM itu ada kaitan dengan cubaan untuk menutup pekung yang sedikit demi sedikit kian terlondeh. Pekung yang disifatkan banyak pihak seumpama bangkai gajah yang tidak mungkin lagi dapat ditutup dengan nyi­ru kerana baunya dapat dihidu bukan sahaja oleh pihak berkuasa tetapi rakyat.

Lebih-lebih lagi, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri tampil menjelaskan mengenai kewajaran untuk Unisel menamatkan kontrak JNSB pada 2013, setelah syarikat konsesi itu gagal membuat penyelenggaraan asrama kampus induk Unisel di Bestari Jaya sehingga menyebabkan bangunan berkenaan terpaksa dikosongkan.

Bahkan tanpa berselin­dung, Abdul Khalid meluahkan kekecewaannya terhadap kepemimpinan Mohamed Azmin yang sanggup membe­lakangkan kepentingan Unisel walaupun Mahkamah Rayuan telah pun menolak permohonan JNSB pada 2 Julai 2013.

Kalau begitulah kata bekas Menteri Besar Selangor, apakah Mohamed Azmin masih mahu bermain politik dengan mendakwa serbuan dibuat SPRM sengaja dirancang atau sebenarnya beliau kehabisan modal kerana satu demi satu pekung yang cuba disembunyikan sebelum ini sehingga sanggup menolak daripada menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) terlondeh.


No comments:

Post a Comment