Wednesday, May 10, 2017

PUSAT HIBURAN LUBUK JENAYAH, PBT BUAT APA ?

-


 Bagaikan lubuk jenayah! Itulah yang boleh digambarkan apabila sebahagian besar kelab malam, pusat hiburan keluarga dan pusat karaoke (KTV) di seluruh negara didapati menjadi `pusat’ untuk pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang.

Selain beroperasi dengan lesen yang sudah tamat tempoh, ketiga-tiga pusat tersebut yang sering menjadi tumpuan orang ramai khususnya pada malam minggu turut menjadi lokasi untuk pengunjung melepaskan gian dengan menghisap dadah, kegiatan pelacuran, menggaji pekerja asing tanpa izin khususnya bagi menjadi GRO dan aktiviti judi haram.

"Mereka juga didapati melakukan perbuatan mengelak cukai dan tidak mengutip cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau mengutip cukai itu tetapi tidak mengisytiharkan jumlah sebenar. Dalam bahasa mudahnya, ketiga-tiga pusat ini menjadi lubuk untuk kegiatan jenayah ekonomi dan jenayah lain," kata sumber kepada Mingguan Malaysia, di sini, hari ini.

Longgokan minuman keras yang mempunyai label bebas cukai di salah sebuah kelab malam.


Difahamkan kegiatan haram ketiga-tiga pusat hiburan tersebut terdedah hasil serbuan pihak berkuasa di beberapa negeri sebelum ini termasuk terbaharu di dua buah kelab malam `eksklusif’ di selatan tanah air.

Sumber tersebut berkata, apa yang mengejutkan terdapat kelab malam berkenaan menjual minuman keras yang mempunyai label `MDNP’ (Malaysia Duty Not Paid) sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana ia boleh dijual di tempat tersebut.


"Sepatutnya minuman keras yang mempunyai label berkenaan hanya di luar di kedai-kedai bebas cukai sahaja, bukannya di tanah besar termasuklah di mana-mana bandar raya. Perbuatan kelab malam tersebut mendatangkan kerugian kepada kerajaan dari segi kutipan eksais.

"Ia memandangkan sesebuah kelab malam perlu membayar lesen eksais, lesen hiburan dan lesen perniagaan, tetapi pemilik premis berkenaan mengaut keuntungan berlipat ganda kerana tidak membayar cukai eksais, beroperasi lebih masa dan tanpa lessen," kata sumber tersebut.


Menurut sumber berkenaan, ketiga-tiga pusat itu menjadi lubuk jenayah bukanlah disebabkan oleh kegagalan pihak polis sebaliknya berpunca daripada kelemahan pemantauan pihak yang mengeluarkan lesen.

"Contohnya di sebuah negeri di selatan, terdapat dua entiti mempunyai kuasa bagi mengeluarkan lesen iaitu pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan. Soalnya siapakah yang melakukan pemantauan bagi memastikan pemilik premis-premis tersebut memenuhi syarat-syarat lesen," soal sumber itu.

Sumber tersebut juga tidak menolak kemungkinan berlaku amalan rasuah yang memungkinkan premis-premis tersebut seolah-olah 'kebal’ daripada tindakan undang-undang.


No comments:

Post a Comment