Sunday, April 2, 2017

KEKAYAAN LUAR BIASA AZMIN PERLU DI SIASAT




Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa meneliti semula siasatan kes pemilikan harta luar biasa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu beliau bertugas sebagai Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri, 22 tahun lalu.

Kerajaan diminta kaji semula syarat pemberian 
Pengerusi Rejim Ubah Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar berkata, penelitian itu perlu memandangkan terdapat dakwaan wujudnya bukti-bukti yang cukup untuk mengaitkan Mohamed Azmin dalam kes itu sebelum siasatannya dihentikan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1997.

Menurutnya, walaupun kes itu telah lama tetapi ia dilihat melibatkan kepentingan masyarakat dan perlu diperjelaskan semula kepada rakyat.


“Bagi saya, kes ini sama seperti pendedahan skandal kerugian RM44 bilion dialami Bank Negara Malaysia (BNM) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993. Walaupun kes siasatan melibatkan Mohamed Azmin itu dikatakan dilakukan pada tahun 1995, namun ia tetap melibatkan kepentingan rakyat.

“Rakyat hanya mahu penjelasan kenapa kes itu ditutup sebelum ini. Justeru, kita berharap SPRM dapat jelaskan kepada rakyat atau kalau perlu siasatan kes itu dibuka semua, maka teruskan. Saya percaya semua pihak ingin tahu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jefrizal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat berkata demikian sebagai mengulas pendedahan sebuah portal berita baru-baru ini mengenai dokumen ringkasan siasatan BPR mengenai pemilikan harta termasuk saham Mohamed Azmin ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Menteri Kewangan dan Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri.

Portal itu turut membangkitkan persoalan mengapa siasatan kes itu ditutup sedangkan berdasarkan ringkasan laporan siasatan mendapati Mohamed Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin mempunyai harta berlebihan dan tidak setimpal dengan pendapatannya sebagai setiausaha sulit ketika itu.

Sementara itu, Mohamed Azmin ketika diminta mengulas dengan pendedahan itu memberitahu, beliau tidak ada masalah sekiranya SPRM mahu meneruskan semula siasatan kes itu atau sebaliknya.

“Terpulang kepada SPRM, mereka ada tanggungjawab untuk pastikan budaya bersih di semua peringkat dan saya mengambil sikap terbuka.

“Tetapi, kenapa isu berpuluh-puluh tahun ini nak dihidupkan semula oleh pihak yang saya kira terdesak untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang?” ujarnya ketika ditemui semasa Pesta Buku Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam. - UTUSAN ONLINE