Saturday, March 4, 2017

MELAYU BAKAL MEREMPAT



"lebih mengecewakan, pemimpin syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang merupakan orang Melayu sendiri tidak membantu untuk menegakkan nilai-nilai kemelayuan termasuk tidak menyokong sepenuhnya akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang memperjuangkan nasib bangsa"


Orang Melayu di negara ini berisiko mengalami nasib seperti kaum sama di Singapura berikutan kegagalan mereka mengangkat nilai-nilai bangsa selain berlaku perpecahan politik.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, sehubungan itu, pilihan raya umum akan datang dilihat amat kritikal bagi menentukan nasib orang Melayu.

Menurutnya, keadaan pada masa ini yang menyaksikan kaum tersebut berpecah termasuk pembentukan beberapa parti politik dikhuatiri boleh menyebabkan mereka hilang kuasa.


“Bangsa Melayu terlalu mengambil sikap mudah dalam memperjuangkan nilai-nilai bangsa serta kuasa politik. Bukti sikap ambil mudah itu dapat disaksikan di Singapura apabila nilai-nilai Melayu di negara jiran itu hanya tinggal menjadi bahan-bahan kesenian.

“Kita gagal mengangkat nilai-nilai bangsa, gagal membentuk sebuah negara bangsa yang menjadikan nilai kita sendiri sebagai keutamaan, malah pada masa sama, kita berpecah dari segi politik.

“Keadaan itu menyebabkan bangsa kita semakin lemah dan jika kuasa Melayu hilang pada pilihan raya umum akan datang, tidak tahu apa nasib kita,” katanya dalam Forum Bela Nusa-Apa Erti Perjuangan? di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin.

Abdul Aziz menambah, lebih mengecewakan, pemimpin syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang merupakan orang Melayu sendiri tidak membantu untuk menegakkan nilai-nilai kemelayuan termasuk tidak menyokong sepenuhnya akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang memperjuangkan nasib bangsa. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment