Saturday, March 4, 2017

MALAYSIA KEENAM TERBAIK DUNIA

Malaysia berada pada kedudukan keenam negara terbaik dunia untuk persaraan bagi tahun 2017 oleh laman web International Living.

Menurut laman web tersebut, Malaysia merupakan satu-satu­nya negara dari benua Asia berada pada kedudukan 10 negara terbaik dunia untuk persaraan mengatasi negara seperti Sepanyol, Portugal dan Malta.





Koresponden International Li­ving di Malaysia, Keith Hockton seperti dipetik dalam laman web tersebut berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah rendah serta negara ini memiliki kualiti perkhidmatan kesihatan yang tinggi.


Beliau berkata, Malaysia turut mempunyai ramai doktor pakar dan kebanyakan mereka menerima pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) serta boleh berbahasa Inggeris dengan fasih.

“Selain itu, bandar-bandar di Malaysia juga bersih dan moden serta negara ini mempunyai pengangkutan awam terbaik serta rakyatnya yang ramah,” katanya.

Hockton menambah, Malaysia juga merupakan salah satu daripada tiga negara di Asia yang membenarkan penduduk membeli hartanah secara pegangan bebas.

Beliau memberitahu, Malaysia turut menawarkan pelbagai pilih­an makanan dan restoran antara terbaik di Asia serta beberapa seni bina infrastruktur di sini juga menarik tidak seperti di negara lain.

“Negara Asia lain menawarkan percutian bajet dan kelas pertama yang besar, manakala Malaysia pula berjaya memenuhi kedua-dua aspek berkenaan,” jelasnya.

Laman web tersebut telah menyenaraikan Mexico, Panama, E­cuador, Costa Rica dan Colombia sebagai negara terbaik di dunia untuk persaraan bagi 2017.


No comments:

Post a Comment