Friday, March 10, 2017

MALAYSIA TIDAK LUPAKAN MH370




MH370 tidak pernah dilupakan walaupun misi pencarian pesawat Malaysia Airlines tersebut digantung pada 17 Januari lalu. Keputusan ini tdak bermakna pengakhiran usaha kerajaan dalam merungkai tragei kehilangan pesawat tersebut. 

Menteri Pe­ngang­­ku­tan, Datuk Seri Liow Tiong Lai malahan berkata aspirasi untuk mencari pesawat yang genap tiga tahun hilang pada hari ini tidak pernah diabaikan sungguhpun penca­rian digantung sementara waktu bagi me­nunggu lebih banyak bukti me­yakinkan.

Katanya, pengumpulan bukti itu berdasarkan analisa kepada data dan maklumat komprehensif yang diperoleh oleh kumpulan pakar di Australia.


“Penggantungan mi­si penca­rian setelah lebih dua tahun sete­ngah dilancarkan sememangnya satu keputusan yang amat sukar, tetapi persetujuan yang dicapai bersama Kerajaan Australia dan China itu bukanlah diambil ringan atau tanpa kepiluan.

“Semua pihak mengharapkan dan berdoa agar dapat mencari jawapan kepada tragedi itu melalui pelbagai usaha yang digembleng di peringkat antarabangsa, namun misi pencarian tidak berhasil,” katanya ketika sesi penerangan khas mengikut peraturan mesyua­rat 14 (1) (i) bagi memperingati kehilangan pesawat itu dalam sidang Dewan Rakyat­, hari ini.

Bagi mengenang episod hitam dalam industri penerbangan negara itu, ahli-ahli Dewan Rakyat turut bertafakur selama seminit bagi mengenang mangsa-mangsa tragedi tersebut.

Tiong Lai berkata, meskipun tragedi yang telah tercatat dalam takwim negara, semua pihak seharusnya memperkukuhkan lagi solidariti dan semangat perpa­duan.

“Oleh yang demikian, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah sebagai tanda kita memperingati genap tiga tahun tragedi malang yang menimpa negara serta mengenang mereka yang terlibat dalam nahas pilu yang amat meruntun hati kita semua.

“Justeru, saya berharap dan menyeru ahli keluarga dan rakan taulan mangsa agar terus cekal dan kekal tabah dalam meniti hari-hari yang mendatang tanpa orang yang disayangi. Doa dan ingatan kita akan terus bersama dengan mereka agar diberi ketabahan dan kecekalan hati dalam meneruskan kehidupan,” katanya.



No comments:

Post a Comment