Kedudukan pendahulu Liga Super yang menjadi milik Pahang selama lima hari kembali dirampas Kedah selepas Lang Merah berpesta gol dengan membelasah Melaka United 4-0 di Stadium Darul Aman, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Kedah mengekalkan rekod bersih di laman sendiri, berterima kasih kepada dua jaringan yang masing-masing disempurnakan penyerang Denmark, Ken Ilso Larsen dan Sandro Da Silva.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong setia sendiri, anak didik Tan Cheng Hoe nyata unggul menguasai perlawanan berbanding pasukan pelawat.
Ketika saingan memasuki minit ke-33, Ken Ilso menggamatkan stadium dengan membuka tirai jaringan selepas menerima lorongan cantik Sandro.
Bersambung babak kedua, Sandro mengandakan kedudukan 2-0 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48 dan meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-78.
Ken Ilso menambah derita pasukan pelawat apabila meledakkan gol keduamya pada minit terakhir.
Lang Merah kini mengumpul 18 mata selepas lapan perlawanan dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan melakar turut melakar kemenangan besar 4-2 ke atas T-Team.
Penyerang Lubnan, Mohammed Ghaddar terus mempamer ketajaman apabila meledak hatrik pada minit ketujuh, 68 dan 83 serta satu gol menerusi Khairul Izuan Rosli (m77) manakala dua gol pelawat dihasilkan Mohd. Nor Hakim Hassan (m50) serta Farchod Tadzijev (m90).
Sementara itu, Selangor yang turun di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan jersi baharu tewas 0-1 kepada Perak selepas menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah pertahanannya, Ugo Ukah dilayang dua kad kuning.
Penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak menjaringkan gol tunggal pada minit ke-67 menerusi sepakan penalti.
Dalam pada itu, PKNS FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan tercorot, Pulau Pinang di Stadium Shah Alam.
Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Felda United menang 2-0 ke atas Sarawak.
No comments:
Post a Comment