Sunday, March 5, 2017

HINDRAF CARI POPULARITI



Niat mahu mencari populariti dilihat menjadi faktor utama buat sekumpul­an aktivis yang turut dianggotai pemimpin pertubuhan Hindraf berusaha mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan Presiden Islamic Research Foundation (IRF), Dr. Zakir Naik sebagai mengancam keselamatan negara.

Menurut anak didik kepada pendakwah itu, Abu Shariz Sarajun Hoda, perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana sudah banyak pihak tidak bertanggungjawab membangkitkan isu itu termasuk memburuk-burukkan pendakwah terkemuka itu demi menaikkan populariti masing-masing.

“Sebagai pendakwah bebas yang dikenali ramai, tidak pelik jika ada pihak cuba menjadikan Zakir sebagai kambing hitam bagi menaikkan populariti ma­sing-masing.


“Tidak jelas apa tujuan mereka sebenarnya. Mungkin doro­ng­an politik juga menjadi sebab mereka melakukan perkara ini, tetapi lebih baik mereka (aktivis) sendiri memberikan penjelasan lebih lanjut,” katanya dalam sidang akhbar bersama Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) bagi menyatakan sokongan kepada Dr. Zakir di sini hari ini.

Abu Shariz yang mula menge­nali Dr. Zakir sejak 2012 kini merupakan salah seorang daripada 20 pelajar yang terpilih untuk mengikuti International Daie Training Programme (IDTP) di Mumbai, India yang dikendalikan oleh pendakwah tersebut.

Beliau dalam pada itu berkata, dakwaan yang dikemukakan oleh kumpulan aktivis itu juga tidak berasas dan gagal membuktikan Zakir menggalakkan aktiviti keganasan.

Malah katanya, sumber-sumber yang digunakan untuk membuat tuduhan terhadap beliau juga tidak berkualiti memandangkan sebahagian besar sumber yang diambil itu adalah daripada laporan-laporan media India yang dilabelkan sebagai tidak boleh dipercayai.

“Forum Ekonomi Dunia (WEF) sendiri selaku pertubuhan ekonomi global yang berprestij menyenaraikan media India sebagai institusi kedua paling tidak dipercayai. Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh mengemukakan pelbagai dakwaan buruk dengan menggunakan sumber itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Pusat Hidayah, Nicholas Sylvester iaitu salah sebuah NGO di bawah GDM mengecam tindakan kumpulan aktivis berkenaan dan meminta mereka mengemukakan bukti menunjukkan Zakir menggalakkan aktiviti keganasan.

Menurutnya, menerusi semua ceramah Zakir yang dirakam dalam video, pendakwah itu tidak pernah menyebut atau mengga­lakkan aktiviti keganasan.

“Jika kumpulan kecil ini berjaya mengemukakan walaupun hanya satu video sebagai bukti, maka kami sendiri akan menentang Zakir, tetapi kami yakin tiada langsung video seumpama itu,” katanya.



No comments:

Post a Comment