Sunday, February 26, 2017

SEMUA SEKOLAH MESRA OKU MENJELANG 2020


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mensasarkan semua sekolah di negara ini dilengkapi kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) menjelang 2020. 


Menterinya, Datuk Seri Mahadzir Khalid, berkata bagi mencapai matlamat itu, beliau berharap lebih banyak pihak swasta tampil bekerjasama dengan kementerian menyediakan kemudahan berkenaan. 


Katanya, setakat ini, hanya RHB Bank melalui Yayasan RHB yang menjalinkan kerjasama dengan pihaknya di lima sekolah terpilih.


 "Bagi pihak kementerian, kita sendiri akan ambil tanggungjawab berkenaan untuk menyediakan kemudahan mesra OKU di sekolah baharu yang bakal dibina kelak. 


"Bagi sekolah yang sudah lama dibina, kita perlu mencari rakan strategik lain untuk membiayai kemudahan berkenaan. Justeru, kita mengalu-alukan pihak swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya. 


Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pendidikan dengan Yayasan RHB di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli. 


Sementara itu, Khairussaleh berkata, Projek Mesra OKU oleh pihaknya itu secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana pembelajaran seperti pelajar normal kepada pelajar OKU. 


"Kami percaya setiap insan mempunyai bakat dan potensi yang boleh diserlahkan jika diberikan peluang sebaiknya oleh masyarakat. "Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang prihatin untuk menyediakan peralatan dan kemudahan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment