Projek Residensi Kerinchi 18 tingkat yang dibina bagi menggantikan flat empat tingkat di Kampung Kerinchi dekat sini adalah bukti kerajaan sentiasa berusaha mengubah masa depan rakyat ke arah yang lebih baik.
Jika dahulu penduduk flat berkenaan tinggal dalam keadaan rumah yang tidak terurus dan usang dengan berkeluasan hanya 300 hingga 450 kaki persegi sejak 1971, namun kini mereka mampu tinggal di pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi yang kondusif dilengkapi kolam renang, surau serta taman permainan tanpa sebarang bayaran berdasarkan konsep trade-off (tukar ganti).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perbezaan suasana kehidupan penduduk terlibat dahulu dan sekarang umpama siang dan malam.
Beliau turut menggambarkan pembinaan Residensi Kerinchi hasil program pembangunan semula Kementerian Wilayah Persekutuan itu bersifat urban renewal oleh kerajaan dan benar-benar menepati kehendak serta kepentingan rakyat.
“Jika dibandingkan flat yang dahulu sekitar RM50,000 tetapi hari ini nilai residensi ini kira-kira RM500,000 atau setengah juta. Lebih bermakna apabila 472 penghuni di sini menerimanya tanpa apa-apa bayaran, konsep yang cukup menarik antara kerajaan dengan pemaju.
“Saya difahamkan sepanjang tempoh pembinaan residensi ini penduduk dipindahkan ke lokasi sementara selain mendapat ganti rugi. Ini sebabkan penghuni-penghuni di sini bersyukur, ini projek yang benar-benar dapat mengubah masa depan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 penduduk setempat termasuk penghuni Residensi Kerinchi dalam Majlis Perasmian Residensi Kerinchi dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Kerinchi, Ahmad Rahman.
Dalam pada itu, Najib menzahirkan rasa hairan apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar cuba menggagalkan projek tersebut sehingga membawanya ke mahkamah.
Beliau percaya, tindakan Naib Presiden PKR itu adalah bersifat politik kerana sedar nama serta imej Barisan Nasional (BN) akan meningkat dengan pembinaan projek tersebut.
“Akhirnya beliau gagal di mahkamah, tapi yang jadi mangsa ialah 35 penghuni flat asal kerana terikut-ikut hasutan beliau. Saya percaya mereka menyesal dengan tindakan itu kerana tidak dapat mendiami pangsapuri ini, tetapi ada juga pertimbangan lain.
“Sebab itu, saya ingin tekankan jangan termakan hasutan, mesti menilai sesuatu itu baik atau buruk, beri manfaat kepada kita atau tidak. Ini bukan soal politik, ini soal kepentingan dan kebajikan rakyat, tidak seharusnya kita termakan hasutan mana-mana pihak,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment