Friday, January 20, 2017

HARGA RUMAH NAIK MENGGILA



Rumah mampu milik RM600k ??? Apakah semakin gila pemaju di Malaysia ini. Sukar dipercayai rumah mampu milik pada masa ini terutama di Lembah Klang mencecah RM600k. Memang tidak padan dan tidak mungkin mampu dimiliki walaupun bagi rumah kos rendah. Sebenarnya kepada siapa sasaran pemaju untuk rumah yang sebegitu mahal ? 

Trend harga rumah meningkat mendadak di Lembah Klang terutama Selangor  ni boleh dikatakan bermula awal 2009. Entah kenapa tiba-tiba di Selangor boleh naik mendadak harga rumah mampu milik. Ada rumah ‘single storey’ yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dahulu hanya berharga RM15 ribu. Kini semua ini sudah tidak ada lagi. 

Harga tidak munasabah yang diletakkan pemaju ini rupa-rupanya bukan sahaja bagi kawasan di sekitar Lembah Klang, tetapi sudah merebak ke kawasan-kawasan lain seperti Sungai Buloh, Rawang, Semenyih dan Nilai.

Bagi rumah teres dua tingkat di kawasan Lembah Klang apatah lagi, harganya tidak kurang setengah juta walaupun hanya untuk lot tengah. 

Pangsapuri atau rumah teres setingkat juga sudah memadai asalkan rumah itu bersesuaian dan harganya mampu dimiliki. Tapi malangnya, amat sukar mencari rumah yang berharga sekitar RM200,000-RM300,000 .

Jika kita buat perbandingan, hartanah di bandar raya besar seperti Tokyo atau London memang mahal berbanding di kawasan bandar biasa. Tetapi, penduduk di bandar raya Tokyo dan London menerima gaji dua hingga tiga kali ganda lebih besar daripada penduduk di kawasan luar bandar.

Oleh itu, harga rumah yang mahal dianggap sepadan dengan gaji yang mereka terima.

Sedangkan di Malaysia, penduduk di kawasan bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, dan Lembah Klang  menerima gaji yang tidak jauh beza dengan penduduk di tempat-tempat lain tetapi terpaksa menanggung harga rumah yang jauh lebih mahal.

Keadaan ini menjadi cabaran kepada pembeli untuk mengenal pasti rumah mampu milik yang boleh dimiliki terutama untuk pembeli rumah pertama, sedangkan permintaan untuk kediaman terus meningkat. 

Dari tinjuaan Prospek Pasaran Hartanah Asia Pasifik-Malaysia CBRE WTW, jumlah kondominum mewah di Kuala Lumpur mencecah 37,824 buah sehingga penghujung 2016.

Sebanyak 86 peratus daripada jumlah tersebut, berharga antara RM700 hingga RM1000 kaki persegi. Itu belum lagi kondominium kelas atasan yang berharga RM1001 hingga RM1500 kaki persegi. 

Dengan pelbagai beban kenaikan kos sara hidup, rakyat bertambah terhimpit dengan harga rumah yang tidak munasabah. Semoga kerajaan Pusat dapat memikirkan sesuatu untuk kebaikan rakyat yang berpandapatan sederhana dan rendah. 


sumber asal : Page Malaysia Menjerit