Wednesday, January 25, 2017

AZMIN JANGAN MAIN WAYANG



Kerajaan PKR Selangor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus didesak supaya tidak lagi bermain wayang berhubung isu lambakan premis mesin judi di negeri itu, sebaliknya mesti mengambil tindakan tegas menanganinya.

Desakan itu disuarakan oleh Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd. Salleh yang kecewa apabila isu berkaitan premis mesin judi di Selangor khususnya Ampang tidak berkesudahan meskipun pelbagai laporan telah dibuat pertubuhan itu selama ini.

Kata Hamdan, bukan hanya pertubuhan bukan ke­rajaan, tetapi masyarakat setempat juga sudah muak dengan per­masalahan yang tiada penghujungnya itu.

“Jadi, kami mendesak Kerajaan PKR Selangor tampil dengan tindakan tegas iaitu membekukan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga dan lesen sedia ada. Basmi perkara ini habis-habisan, jangan hanya main wayang.

“Kami sudah muak dengan masalah ini. Apa peranan Mohamed Azmin dalam isu ini? Kenapa seolah-olah tiada tindakan daripada kerajaan negeri? Adakah perkara ini mempunyai kaitan dengan pihak dalaman,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo di Taman Kosas, Ampang dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut Hamdan ber­kata, Mohamed Azmin seolah-olah tidak peka dengan per­masalahan tersebut yang akhir­nya akan memberi kesan buruk kepada masyarakat setempat khususnya anak-anak muda.

“Beliau tidak peka. Ini bukan­nya isu politik tetapi membabitkan rakyat di Selangor,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail pula kecewa apabila isu tersebut yang telah beberapa tahun disuarakan oleh penduduk di sekitar Ampang dipandang endah tidak endah oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri, pihak ber­kuasa tempatan perlu siasat per­kara ini. Jangan sampai premis-premis judi yang menjadi parasit dalam kalangan masyarakat merosakkan penduduk di Selangor,” ujar beliau.