Wednesday, December 14, 2016

PENJAJAHAN JEPUN KE ATAS TANAH MELAYU : ASIA UNTUK ORANG ASIA (1)



Pada Februari 1942, Tentera Maharaja Jepun mengusir tentera British dari Tanah Melayu, dan Singapura setelah mendudukinya selama hampir 4 tahun. Pada awal kedatangan tentera Jepun, orang Melayu berharap ia merupakan satu rahmat kepada mereka, sebaliknya ia merupakan satu mimpi ngeri dalam sejarah Tanah Melayu. 

Pemerintah Jepun bermula dengan pembunuhan beramai-ramai. Mereka dikatakan amat kejam, bertindak kasar dan bengis. Padahal sebelum itu Jepun menjanjikan mereka akan mengembalikan semula Asia untuk orang Asia. Sebaliknya ribuan rakyat diperhamba, diseksa, dibiar kelaparan dan ada yang dibunuh. Kehadiran tentera Jepun telah megubah hidup penduduk Tanah Melayu selamanya.

7 Disember, 1941. Tentera Laut Jepun belayar menyeberangi Laut China Selatan menuju ke Tanah Melayu, satu jajahan British yang kaya. Tentera Jepun merancang untuk menguasai sumber-sumber asli di Tanah Melayu untuk membina sebuah empayar yang mereka gelar "Lingkaran Kemakmuran Bersama Asia Timur".

Pada tengah malam 8 Disember, tentera Jepun meredah ombak setinggi 6 kaki dan mendarat di Pantai Sabak, Kota Bahru, Kelantan. Ia dua jam lebih awal sebelum pesawat pengebom Jepun menyerang Pearl Harbour dan pertempuran besar pertama Perang Dunia Kedua di Asia. 

Serangan yang dipimpin oleh Jenaral Tomoyuki Yamashita itu telah memeranjatkan British, natijahnya Kota Bahru tumbang dengan begitu mudah sekali. Komander-komander British yang patah semangat mengarahkan semua anggotanya berundur. 

Tentera Jepun mula melancarkan serangan udara besar-besaran dari pangkalan mereka di Indochina. Pesawat-pesawat pengebom Jepun lancarkan serangan bertubi-tubi ke atas bandar-bandar seluruh Tanah Melayu. 

Pada mulanya rakyat menyangkakan ia satu pertunjukkan udara oleh Tentera Udara Australia, tapi lama kelamaan mereka menyedari bahawa Tanah Melayu telah diserang. Mayat bergelimpangan di jalan raya, ada diantaranya tidak mempunyai cukup sifat seperti putus kepala, tangan, kaki dan badan hancur berkecai. Ada diantaranya yang di tanam dan ada juga yang dibakar. 

Dibahagian utara, Jepun mendarat di Singora dan Pattani tanpa mendapat tentangan. Rancangan besar Jeneral Yamashita berarak menerusi Tanah Melayu unutk menawan Singapura, pusat pemerintahan British. Keadaan mula menjadi kacau bilau apabila berita ini tersebar. 

Apabila rakyat menjadi panik, British ambil keputusan yang menjejaskan reputasi mereka. Di bandar-bandar utama, semua orang Eropah diarahkan keluar tanpa menghiraukan nasib orang Asia yang dijajahnya. Bagi rakyat Tanah Melayu, perbuatan orang British melarikan diri merupakan satu pengkhianatan dan tidak akan dilupakan mahupun dimaafkan. 

Tentera Jepun mara ke selatan dengan berjalan kaki, mengunakan kereta kebal dan trak dengan cara paling terkenal iaitu dengan megunakan ribuan buah basikal. British telah membina jalan -jalan yang baik di Tanah Melayu dan tentera Jepun bergerak dengan pantas dan ada kalanya berkayuh 24 jam tanpa henti.

Ternyata mereka bukan tentera sebarangan. Pasukan tentera Yamashita adalah pasukan yang cekal setelah bertahun-tahun berjuang menentang bala tentera Chiang Kai- Shek di China. 

Sejarawan Jepun, Nobuyoshi Takashima berkata, pasukan pertama ke Tanah Melayu terdiri daripada mereka yang muda, kuat dan bujang yang terlatih dan bersedia berhadapan berhadapan dengan tentera British. Dikalangan mereka terdapat ramai anggota yang ganas dan bengis. 

Tentera Jepun cuba menimbulkan perasaan takut ketika mereka berjalan merentasi Semenanjung Tanah Melayu. Ramai orang melarikan diri bersembunyi di ladang-ladang getah atau pun hutan berhampiran. Ketika itu orang yang tinggal dibandar pun lari meninggalkan kediaman dan masuk ke kampung-kampung. Paling terdedah kepada bahaya adalah kaum Cina. Orang Cina takut kepada Jepun kerana cerita-cerita yang mereka dengartentang peperangan di China bagaimana tentera Jepun membunuh dan memperkosa kaum wanita mereka. 

Justeru itu, gadis -gadis cina menyamar seperti kaum lelaki seperti mengunting rambut dan tidak mengunakan lagi alat solek. Ada diantara mereka mengunakan arang untuk menghitamkan muka agar kelihatan hodoh dan kotor. Keganasan tentera Jepun bukan setakat itu sahaja, malahan mereka pernah merogol wanita yang mengandung 7 bulan sehingga dia dan anak yang dikandungnya mati.

Tentera Jepun juga merampas apa sahaja yang boleh mereka ambil. Sesiapa sahaja yang berpakaian kemas diarahkan untuk menanggakan pakaian. Mereka akan diarahkan untuk membuka pakaian semuanya sekali dan merampas barang-barang berharga milik mereka terutama jam tangan kerana ketika itu jam tangan di Jepun merupakan barang yang sangat berharga. 

Tentera Jepun bukan sahaja datang ke Tanah Melayu sekadar untuk membunuh, merogol atau menjarah, bahkan mereka mempunyai agenda besar iaitu untuk menguasai keseluruhan Asia. Justeru itu mereka mulai mengedarkan risalah-risalah propaganda yang mengistiharkan "lingkaran Kemakmuran Bersama Seluruh Asia". Iaitu rancangan untuk mengusir British dan menyerahkan semula Asia kepada orang-orang Asia. 

Bagi Kesatuan Melayu Muda (KMM), organisasi nasionalis pertama di Tanah Melayu, idea "Asia Untuk Orang Asia" amat menarik pada pandangan mereka. Naib presidennya, Mustapha Hussein berharap Jepun akan membantu perjuangan mereka, iaitu memerdekakan Tanah Melayu. 

Insun Mustapha, anak perempuan Mustapha Hussein menjelaskan pada ketika itu ahli KMM merasakan ini adalah tanah orang Melayu. Justeru itu mereka mahu menuntut kemerdekaan. Mustapha Hussein mengambil peluang pad awal tahun 1942 ketika tentera Jepun masuk ke Kuala Lumpur tanpa ditentang sedikit pun. 

Beliau membuat satu syor yang dramatik kepada pegawi-pegawai pemerintah Jepun. Mustapha Hussein boleh dikatakan orang Melayu yang pertama menuntut kemerdekaan untuk Tanah Melayu, tanah airnya. Namun beliau menyedari Jepun belum lagi bersedia untuk membina sebuah negara. Salah seorang komander tentera Jepun berkata "Biarlah Jepun menjadi ayah dan kaum Melayu, India dan Cina menjadi anaknya, "tetapi jika si anak Melayu lapar, kami boleh beri lebih banyak susu". Dengan maksud lain, Jepun lebih mengutamakan orang Melayu dan apabila sampai masanya yang sesuai mereka akan mendapat lebih banyak kelebihan. 

Dengan bantuan segelintir anggota KMM, tentera Jepun terus mara ke seluruh pelusuk Tanah Melayu. Semua halangan dalam perjalanan mereka ke Singapura mereka redah. 

Serangan tentera Jepun mengambil masa kurang dari 2 bulan untuk mencapai matlamat mereka. Pada 15 Februari 1942, komander tentera British, Arthur Percival meletak senjata menyerah diri di Singapura. 

Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill mengelarnya "Bencana paling dasyat dalam sejarah Britain". Tidak beberapa lama kemudian seluruh Asia Tenggara akan menjadi sebahagian dari empayarJepun yang baru dan rakyat Tanah melayu akan "menikmati" realiti kekejaman pemerintahan kuku besi Jepun. 

bersambung .....

No comments:

Post a Comment