Tuesday, June 21, 2016

PENUBUHAN PASUKAN STRAITS SETTLEMENT NAVAL VOLUNTEER RESERVE -1




(1) KONSEP PASUKAN SUKARELA
Kerajaan British yang bertapak di Semenanjung berjaya mencengkam kuasa politik dan ekonomi Tanah Melayu yang dijajah, dan mengeksploit sumber asli negara ini untuk pembangunan negaranya. Usaha untuk menubuhkan satu pasukan pertahanan yang dianggotai oleh penduduk tempatan tidak dirancang, kerana ia ditanggap sebagai satu pembaziran dan boleh menjadi 'senjata makan tuan'. Walau bagaimanapun untuk menentukan kedudukan mereka di Tanah Melayu dan tanah jajahan lain lebih mantap, satu konsep untuk mempertahankan tanah jajahan telah dirumuskan. Kerajaan British sebenarnya tidak mampu mewujudkan satu pasukan tetap yang dianggotai oleh rakyat British khusus untuk mempertahankan tanah jajahan takluknya. Oleh yang demikian, pada penghujung abad ke-19 orang awam di Tanah Melayu telah mula diambil masuk berkhidmat dalam pasukan sukarela untuk pertahanan setempat. Markas-markas pasukan sukarela telah ditubuhkan di setiap negeri Tanah Melayu dan Singapura untuk mentadbir sukarelawan tersebut. Di awal abad ke 20, perjawatan untuk rakyat biasa bangsa Melayu di dalam perkhidmatan kerajaan adalah terhad. Oleh yang demikian, pemuda-pemuda Melayu telah mengambil kesempatan berkhidmat dalam pasukan sukarela. Di samping itu orang Melayu mempunyai perasaan nasionalisme yang tebal dan sanggup berjuang menyabung nyawa mempertahankan negaranya. Tambahan pula kebudayaan Melayu memberi penghargaan dan penilaian yang tinggi kepada mereka yang sedia berkorban demi keselamatan watan dan kesejahteraan rakyat, sebagai mencerminkan warisan semangat kepahlawanan Melayu. Dari peringkat awal lagi struktur pasukan sukarela memperlihatkan keanggotaan pegawai yang terdiri dari rakyat British, sementara peringkat lain-lain pangkat dianggotai oleh anak tempatan.


(2) PENINGKATAN KEKUATAN PERTAHANAN
Setelah Perang Dunia Pertama tamat, keadaan politik dunia masih tidak stabil. Pergolakan di Benua Asia bertambah hangat apabila negara Jepun mula membangun kekuatan dan mempertingkatkan keupayaan bala tenteranya. Jepun juga mengambil langkah mengubah falsafah negaranya dan sekaligus merancang untuk menjadi satu kuasa besar di rantau Asia supaya setanding dengan kuasa-kuasa Eropah. Kejayaan tentera Jepun bertapak di tanah besar Asia, khususnya setelah berjaya mengalahkan armada Russia, telah mengubah tanggapan bahawa kuasa kulit putih tidak boleh dikalahkan oleh kuasa Asia. Bahkan kemenangan itu telah memberi rangsangan untuk tentera Jepun terus mara ke beberapa wilayah di Asia. Sementara itu kerajaan tentera di Jepun telah digesa oleh rakyatnya supaya bersikap lebih tegas terhadap Kerajaan British dan Amerika, terutamanya mengenai hasrat kedua-dua kuasa itu hendak menghalang Jepun dari meluaskan kuasanya ke negara-negara lain di Asia. Berdasarkan tafsiran pergolakan dalaman di Jepun, kuasa-kuasa barat yakin di atas hasrat negara itu hendak menguasai timur jauh dan Asia Tenggara.
bersambung DISINI

Sumber : Friends of kedaulatan