Wednesday, April 20, 2016

GENERASI Y KURANG MEMAHAMI PENGURUSAN KEWANGAN



Ramai anak rakyat Malaysia terutamanya golongan anak muda menghadapi masalah dalam menguruskan kewangan mereka. Keadaan ini berlaku apabila ramai diantara mereka meminjam wang dari institusi kewangan seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan pinjaman perniagaan. 

Anak Muda berumur bawah 40 didapati bukan sahaja lemah dalam menguruskan kewangan, tetapi kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan terutama dalam aspek berkaitan kredit dan hutang, pengurusan risiko, pelaburan dan kewangan Islam. 


Ada juga sesetengah dari mereka yang telah di "blacklist" oleh bank dan ada yang di isytiharkan bankrup. Inilah akibatnya jika hidup mengamalkan budaya berhutang melebihi pendapatan hingga menyusahkan diri dan keluarga. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk membuat pinjaman perumahan, kereta dan pelaburan. 


Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid ketika  menghadiri Program Gempak Keluarga Felda di Felda Lok Heng Barat Johor, masalah anak muda seperti ini perlu kita bantu bagi memudahkan mereka keluar dari permasalahan ini dengan segera. Bahkan ada diantara mereka yang tidak dapat membeli rumah , kenderaan dan pelaburan. Kita perlu bantu mereka mencari jalan keluar dari permasalahan ini. 

Generasi Y hari ini sering terkeliru apabila berkait soal kewangan mereka terutama hutang, kad kredit, perumahan dan simpanan hari tua mereka. Bahkan mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang rendah berkenaan kadar faedah, inflasi dan kepelbagaian risiko. 


Kesannya mereka tidak mampu mencapai kesenangan dan kekayaan kerana sering berhadapan dengan bebanan kewangan yang berpunca dari ketidakupayaan menguruskan bajet dan merancang kewangan yang baik.


Dalam pada itu Datuk Ehsan menyarankan juga agar anak muda menyahut seruan kerajaan bagi memenuhi keperluan industri dalam bidang-bidang kemahiran. Generasi muda hari ini perlu melengkapkan diri dengan kemahiran. Pelbagai insentif yang telah kerajaan sediakan untuk anak muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran-kemahiran tertentu. 


Sewajarnya anak muda hari ini perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran kerana kita tidak tahu apa tuntutan pekerjaan dimasa akan datang.