Shamsul Anuar Nasarah
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun sedar situasi dihadapi semua pihak terutama ketika berlaku kenaikan kos sara hidup, pihaknya bimbang tidak mampu menyediakan dana secukupnya untuk pelajar ke universiti akibat kegagalan bayar balik sesetengah individu.


“Jika ini terus berlaku, tentu ia akan menambahkan beban kepada rakyat. Saya bersedia bertemu CUEPACS bagi menyelesaikan masalah ini kerana saya yakin PTPTN dan CUEPACS juga mempunyai iltizam yang sama iaitu bagi memastikan rakyat mendapat yang terbaik di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, CUEPACS bercadang akan menarik balik kebenaran PTPTN membuat pemotongan gaji ke atas penjawat awam sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum kerana disifatkan membebankan kedudukan kewangan mereka.
Pada 9 Julai lalu, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan arahan agar penjawat awam melaksanakan bayaran balik melalui potongan gaji mulai 1 September lalu melibatkan lebih 138,201 kakitangan yang mempunyai tunggakan atau hanya membuat bayaran sekali-sekala.


Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, PTPTN tidak mengambil kesempatan atau menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dalam melaksanakan tanggungjawab kerana semua tindakan diambil berdasarkan kepada nasihat, kajian dan pandangan pelbagai pihak.
Jelas beliau, pelaksanaan potongan gaji mandatori itu merupakan antara langkah ter­akhir dilakukan berikutan beban kewangan PTPTN kini begitu tinggi dan mempunyai komitmen sebanyak RM54.6 bilion kepada lebih 2.5 juta pelajar.
Dalam masa sama, katanya lagi, pihaknya terpaksa berdepan masalah apabila lebih 611,956 pe­minjam tidak pernah membuat bayaran pinjaman melibatkan jumlah RM5 bilion walau sesen pun.


“Seramai 3,193 peminjam diminta segera tampil dan berunding bagi membuat penjadualan semula bayaran balik mereka selewat-lewatnya pada 18 Januari depan. Sekiranya peminjam yang terlibat gagal berbuat demikian dalam tempoh tersebut, jumlah ansuran potongan gaji mandatori akan dikenakan semula kepada peminjam.
“Jumlah ansuran bayaran balik baharu boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada gaji dan umur peminjam. Justeru, ia tidak akan membebankan sekiranya peminjam dapat hadir berunding dan menstrukturkan semula hutang mereka,” katanya.


UTUSAN