Wednesday, April 20, 2016

PEMUDA PAS SOKONG KERAJAAN .....




SHAH ALAM – Pemuda Pas hari ini melahirkan sokongan ke atas keputusan kerajaan melaksanakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi mengurangkan angka kemalangan jalan raya yang semakin meningkat saban tahun.
Bagaimanapun, pihaknya menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara yang memberikan tumpuan kepada kesalahan memandu melebihi had laju dan pelanggaran lampu isyarat.
Ujarnya, tindakan tersebut dilihat hanya akan ‘menjerat’ banyak pengguna khususnya di kawasan dalam bandar dan antara bandar dengan kesalahan trafik berbanding untuk mendidik sikap pengguna jalan raya.
“Jumlah kemalangan yang mencecah sehingga 489,606 kes dengan 6,706 kematian pada 2015 adalah sangat membimbangkan. Walaupun angka kematian ini lebih rendah berbanding jangkaan asal iaitu 8,760 kematian, Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros) juga menjangkakan menjelang 2020, angka tersebut akan meningkat kepada 10,716 kematian.
“World Health Organization (WHO) pada Mei 2014 di dalam laporannya pernah merekodkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia ialah 25.25 menjadikan negara ini berada pada kedudukan ke-34 daripada 172 buah negara lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sebagai langkah penyelesaian, kata Nik Abduh, pihaknya mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme yang dapat mengurangkan kesesakan di atas jalan raya.
“Dua aspek perlu diberikan tumpuan iaitu mengurangkan jumlah kenderaan aktif di atas jalan raya dan mengurangkan kesesakan kenderaan di atas jalan raya pada satu-satu masa; khususnya pada waktu puncak.
“Jumlah kenderaan di atas jalan raya ini perlu dikurangkan memandangkan jumlah kemalangan meningkat seiringan dengan peningkatan kadar bilangan kenderaan aktif di atas jalan raya berbanding jumlah populasi. Sebagai contoh, pada 2009, kadar kenderaan aktif berbanding jumlah populasi ialah 50.4 dan jumlah kemalangan ialah 397,330 kes. Manakala pada 2013, kadar kenderaan aktif berbanding jumlah populasi meningkat kepada 58.0 dan jumlah kemalangan pula meningkat kepada 477,204 kes,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment