Wednesday, January 27, 2016

JURUTERBANG MAB ADA PELUANG BEKERJA DENGAN EMIRATES



Peluang bukan datang selalu, jika sudah rezeki depan mata jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Emirates bersedia mengambil juruterbang Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang berminat bekerja dengan syarikat penerbangan yang berpusat di Dubai.

Naib Presiden Kanan Bahagian Emirates, Adnan Kazim mendedahkan bahawa mereka memang merancang untuk mengambil juruterbang baru termasuk dari Malaysia Airlines.

Sebelum ini Malaysia Airlines dan Emirates ada menandatangani perjanjian perkongsian kod, iaitu sebahgian daripada program rasionalisasi laluan syarikat penerbangan Malaysia.

Program ini menyaksikan MAB menamatkan beberapa laluan antaranya termasuklah ke Frankfurt, Istanbul dan Brisbane.
Destinasi harian ke Paris dan Amsterdam bakal berakhir pada 1 Februari ini. Manakala laluan KL - Dubai yang  digantung pada 15 Februari ini akan dijadual semula penumpang mengunakan perkongsian kod  penerbangan dengan Emirates.


Malaysia Airlines sebelum ini melaporkan bahawa proses rasionalisasi rangkaiannya akan memberi impak kepada juruterbang, namun mereka sudah diberikan pilihan yang tidak termasuk pemberhentian kerja.

Juruterbang ini dilaporkan akan mempunyai pilihan kerjaya, termasuk dipinjamkan kepada sayrikat penerbangan lain di Asia atau Timur Tengah, cuti panjang tanpa gaji secara sukarela untuk meneruskan kerjaya lain atau kekal dalam Malaysia Airlines dan menunggu kekosongan jangka panjang dengan syarikat penerbangan lain.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Emirates Thierry Antinori berkata syarikat penerbangan itu akan menjalin usaha sama dengan Tourism Malaysia untuk membawa pelancong dalam rangkaian globalnya, terutama Eropah, Afrika dan Timur Tengah, ke Malaysia menerusi hab Dubai.

Beliau berkata, sasaran Emirates termasuk pelancong perniagaan dan santai dari tiga rantau berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada 150 destinatinya merentas 80 negara.

"Asia Tenggara terutama Malaysia berpotensi besar bagi Emirates, dan syarikat penerbangan kami mempunyai rancangan hebat di Malaysia meskipun wujud isu minyak dan gas dunia.

"Lokasi geografi Malaysia antara Singapura dan Bangkok merupakan pasaran yang sangat strategik untuk diteroka oleh Emirates," kata Antinori.

Beliau berkata, Emirates meraikan operasi 20 tahunnya di Malaysia tahun ini, dan setakat ini, 730 daripada 56,000 pekerjanya terdiri daripada rakyat Malaysia, yang kebanyakannya berkhidmat sebagai krew kabin.