Monday, December 14, 2015

KETEPIKAN PERBALAHAN

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan pemimpin parti itu supaya mengetepikan pergeseran dan perbalahan sesama mereka.
Katanya, sepatutnya matlamat utama pemimpin Umno ialah untuk memenangi ‎PRU akan datang, oleh itu perbalahan sedia ada perlu dihentikan segera.


"Kita nak menang pilihan raya, kita nak kekalkan kuasa, jadi kalau kita masih bercakaran sesama sendiri, siapa yang untung, apa yang Umno dapat,? soal beliau sambil menegaskan Umno memerlukan pemimpin yang komited terhadap perjuangan," katanya dipetik menerusi laman blognya hari ini.


Katanya, berpegang kepada semangat 'buang yang keruh ambil yang jernih', semua pihak harus membina semula kekuatan parti tanpa dibebani agenda peribadi atau kepentingan segelintir kumpulan.


"Umno sekarang ini memerlukan kepada semangat pemulihan dalam satu barisan kukuh untuk meneruskan perjuangan dengan agenda memperkasakan kepentingan rakyat terutama umat Melayu," katanya.

Tetapi ujar Syed Ali, jika kepimpinan Umno masih bertelagah dan bertingkah pendapat sesama sendiri tanpa ada usaha menjernihkan keadaan, dikhuatiri parti tidak lagi disantuni rakyat.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mengamalkan sikap yang sengaja mencetuskan api permusuhan sesama sendiri untuk menangguk di air keruh.
"Apa yang diungkapkan Datuk Seri Mohd. Najib Razak sewaktu ucapan dasarnya adalah luahan rasa bimbang presiden terhadap masa depan Umno dan orang Melayu jika berlaku pergeseran sesama sendiri," katanya.

Penegasan Najib kata beliau, tersirat iktibar dan peringatan yang perlu diberikan perhatian oleh seluruh ahli-ahli Umno jika benar mereka sayangkan masa depan umat Melayu di tanahair ini.

"Penjelasan dan penegasan Najib sudah jelas, ianya telah merungkai kepada beberapa persoalan dan sebagai ahli parti yang setia, kita sepatutnya menyokong penuh kepimpinan dan pendekatan yang diambil oleh presiden parti.

Sehubungan itu katanya, Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini merupakan podium terbaik untuk mengumpul segala teguran, saranan, kritikan dan cadangan kearah penambahbaikan perjuangan parti.

"Saranan dan kecaman serta sindiran sinis perlu diambil iktibar dan sebagai ahli parti, kita perlu mencontohi semangat dan sikap Presiden Umno yang sentiasa berjiwa besar dan berlapang dada," tegasnya.


Malah kata Syed Ali, penegasan presiden parti dalam menjawab beberapa isu yang dianggap kritikal terbukti mencerminkan kepimpinan sebenar Perdana Menteri yang sentiasa bersikap terbuka dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap senario politik yang berlaku.


"Najib telah mempamerkan sikap terpuji sebagai pemimpin yang sentiasa mendahului kepentingan rakyat, parti dan negara dan dalam masa yang sama,beliau ikhlas mengakui kelemahan sebagai seorang manusia biasa," ujarnya lagi.


Sebagai ahli parti yang sentiasa taat dan setia kepada pucuk pimpinan, Syed Ali mahu barisan kepimpinan Umno di semua peringkat merapatkan semula jemaah bagi memastikan Umno kekal dihormati.


No comments:

Post a Comment